Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Aminar Rashid Salleh berkata, mo­del baharu itu telah berjaya mendapat markah keseluruhan 88.27 mata melalui penilaian Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) dan Teknologi Bantuan Keselamatan (SATs).

“Penilaian terbaharu ASEAN NCAP merangkumi tiga perkara utama iaitu AOP, COP dan SATs dengan Myvi baharu berjaya mendapat 45.43 mata bagi AOP, 22.01 (COP) dan 20.83 mata untuk SATs.

“Penarafan ini juga merupakan penanda aras keselamatan kepada Pe­ro­dua untuk terus mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan kerajaan seperti pemasangan teknologi Kawalan Ke­stabilan Elektronik (ESC) yang diwajibkan pada Jun hadapan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis ASEAN NCAP New Roadmap, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengerusi ASEAN NCAP, Prof. Dr. Wong Shaw Voon.

Sementara itu, Shaw Voon berkata, pihaknya gembira de­ngan maklum balas daripada pengeluar kereta yang menawarkan secara sukarela model-model yang dihasilkan untuk menjalani ujian di bawah ASEAN NCAP.

Katanya, ujian berkenaan amat penting bagi memastikan setiap model kereta yang berada di atas jalan raya tidak memberi risiko kemalangan maut daripada terus berlaku.

“Piawaian ini bukan sahaja tertakluk kepada kenderaan ringan namun turut melibatkan semua kenderaan berat dan kita sedang mengkaji untuk melakukan penilaian ini nanti,” katanya.