GANESH KUMAR BANGAH

Hasil pendapatan eksport juga meningkat kepada RM51 juta dalam GMV tahun ini berbanding RM39 juta pada 2017 hasil daripada pembeli di 32 negara meliputi Afrika, Eropah, Asia Barat, Asia, Utara dan Amerika Selatan.

Sebanyak 74 peratus daripada pendapatan eksport disumbang menerusi penyertaan peniaga dalam kategori perjalanan. Ka­tegori utama dalam pasaran eksport juga merangkumi hiburan (permainan dalam talian, sukan bilik permainan dan tiket konsert) ialah 16.9 peratus dan barangan runcit, 5.7 peratus.

Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (Pikom), Ganesh Kumar Bangah berkata, acara tahun ini menyaksikan beberapa peniaga me­nunjukkan pendekatan untuk meneroka pelbagai kate­gori bagi memperluaskan portfolio produk masing-masing.

Katanya, sektor e-dagang mem­punyai potensi untuk berkembang maju dengan me­nyaksikan penyertaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Acara tahun ini menunjukkan rakyat Malaysia terus menyemarakkan budaya membeli-belah dalam talian selagi ia menawarkan tawaran yang menarik, diskaun dan pilihan produk yang hebat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tahun ini merupakan kali kedua Pikom menganjurkan acara jualan dalam talian terbesar di Malaysia, dengan kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Terdapat 1,260 peniaga dalam 21 kategori pada edisi kelima #MYCYBERSALE yang diadakan pada September. Sebelum ini, ia dianjurkan oleh MDEC dari 2014 hingga 2016.

Produk daripada kategori gaya hidup dan fesyan menjadi pilihan utama dalam kalangan pengguna.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MDEC, Datuk Ng Wan Peng berkata, pihaknya gembira dapat terus menyokong Pikom dalam #MYCYBERSALE, inisiatif yang dibangunkan untuk membantu lebih banyak PKS tempatan berada di tempat yang sesuai dalam arena e-dagang yang semakin berkembang dan meletakkan Malaysia sebagai kuasa besar e-dagang serantau.

“Saya juga gembira menyaksikan peningkatan penyertaan perniagaan kecil daripada program eUsahawan pada tahun ini kerana jumlah mikro PKS me­lonjak daripada 100 pada 2017 kepada 338 tahun ini,” katanya.