Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, Johan Ishak berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2012, agensi berkenaan telah membiayai lebih dari 100 syarikat dengan jumlah pinjaman sebanyak RM200 juta.

Jelas beliau, pihaknya juga telah menerima bayaran balik daripada sebahagian syarikat telah mencapai tarikh matang lima tahun yang ditetapkan dan wang tersebut akan digunakan untuk pembiayaan seterusnya.

“Kami juga mengawasi setiap syarikat yang dibiaya secara bulanan bagi memastikan mereka berkembang pada tahap yang optimum kerana mengikut perkiraan kami, setiap syarikat yang dibiaya membawa pulang pendapatan pada kadar 2.33 kali ganda jika berkembang pada tahap perniagaan optimum.

“Kami yakin pembiayaan ini akan menyaksikan industri seni kreatif tanah air berkembang dengan lebih mampan dan menyumbang lebih banyak kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada masa hadapan berbanding hanya 1.6 peratus setakat ini,” katanya dalam sidang akhbar Penamaan Pelaburan Perniagaan MyCreative di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong dan Ahli Lembaga Pengarah MyCreative, Datuk Mahyidin Mustakim.

Terdahulu, Johan dan Mahyidin mengiringi Chee Leong menyampaikan sijil penerimaan pinjaman kewangan MyCreative kepada 23 syarikat dengan jumlah pinjaman sebanyak RM60 juta bagi tahun 2016.

MyCreative adalah sebuah agensi pelaburan kerajaan di bawah Kementerian Kewangan yang ditubuhkan pada 2012 bagi melonjakkan industri kreatif negara melalui pelan inovatif dan strategik iaitu dana pinjaman atau pelaburan ekuiti kepada syarikat seni kreatif Malaysia.

Dalam pada itu, Johan berkata, MyCreative bakal melaksanakan Agenda Revitalisasi Seni dan Kebudayaan serta Unit Pembangunan Ekonomi khas bagi sektor kesenian dan kebudayaan sejajar dengan inisiatif yang diperuntukkan dalam Bajet 2017 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lalu.

Katanya, Agenda Revitalisasi Seni dan Kebudayaan yang akan dikenali sebagai Riuh merupakan medan terbaik yang bertindak seperti pasar seni bagi pemain industri memaparkan produk dan perkhidmatan seni kepada pasaran umum bertujuan untuk merancakkan transaksi ekonomi.