Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Datuk Ahmad Saruji Abdul Aziz berkata, sektor pengurusan perwarisan mempunyai potensi yang besar dan masih belum diteroka sepenuhnya oleh institusi-institusi amanah di negara ini.

Menurut beliau, industri tersebut sering dikaitkan dengan masyarakat atau demografi yang mana ketika ini Malaysia mempunyai ramai penduduk yang memiliki tahap pendidikan tinggi selain peningkatan golongan profesional.

“Dahulu kita boleh lihat kesedaran pengurusan perwarisan banyak dipelopori oleh bukan bumiputera, tetapi kini tahap pendidikan yang tinggi menyebabkan ramai bumiputera yang terbabit dalam industri itu. Peningkatan nilai harta yang dikumpul memerlukan ia ditadbir dan diuruskan dengan baik agar memberi manfaat kepada waris,” kata­nya di sini baru-baru ini.

Tambah Ahmad Saruji, bagi mencapai sasaran tersebut MyAngkasa akan memperba­nyakkan saluran perkhidma­tan perwarisan sedia ada daripada 1,600 saluran kepada 2,500 saluran dengan rakan saluran seperti koperasi dan institusi perbankan.

Katanya, antara saluran perkhidmatan perwarisan sedia ada sekarang termasuk Pos Malaysia, Bank Muamalat, Bank Simpanan Nasional, Agro Bank, Affin Bank, MBSB Bank, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Pelaburan Mara Berhad (PMB).

“Impak daripada saluran-saluran ini akan mempertingkatkan kesedaran me­man­dang­kan masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak sedar perkhidmatan wasiat dan pengurusan harta pusaka boleh didapati di institusi perbankan. Penggunaan saluran seperti ini juga membantu memudahkan urusan pelanggan kerana liputannya yang meluas,” ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Saruji berkata, pengurusan kekayaan oleh MyAngkasa datangnya daripada pelanggan yang berada di pusat tum­puan ekonomi seperti Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.

Jelasnya, apabila ekonomi di sesuatu kawasan itu berkembang pesat ia menawarkan peluang kepada orang ramai untuk mengumpul aset-aset kekayaan.

“Ini tidak bermakna negeri-negeri lain tiada sumbangan, cuma jumlahnya tidak sebesar di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang,” katanya.