Pengarah Urusan Axcelasia Taxand Sdn. Bhd., Leow Mui Lee berkata, terdapat salah faham dalam kalangan masyarakat yang me­nganggap setiap tran­saksi dalam talian termasuk pembelian barangan bukan perkhid­matan akan dikenakan cukai digital.

“Ini salah kerana ia hanya akan dikenakan ke atas perkhidmatan yang dibayar kepada syarikat dalam talian atau dalam aplikasi.

LEOW MUI LEE
LEOW MUI LEE 

“Sebagai contoh, pengguna memuat turun permainan atau perisian yang memerlukan pembelian dalam aplikasinya. Inilah barang yang termasuk di bawah cukai digital.

“Sebaliknya bara­ngan seperti pakaian dan ka­sut yang dibeli daripada platform dalam talian sememangnya telah dikenakan duti import dan cukai jualan,” katanya dalam seminar berkaitan Belanjawan 2019 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Axcelasia Taxand, Dr. Veerinderjeet Singh.

Kementerian Kewangan sebelum ini mengumumkan pelaksanaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital asing termasuk perisian, muzik, video dan pengiklanan digital berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Malaysia merupakan negara kedua di Asia Tenggara yang memperkenalkan cukai digital, selepas Singapura.

Negara-negara lain yang turut memperkenalkan cukai seum­pamanya termasuk India dan Hungary manakala Australia dan United Kingdom kini sedang mempertimbangkannya.

Mui Lee berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia mempunyai tempoh satu tahun untuk memastikan bahawa syarikat-syarikat digital asing ini berdaftar bagi membolehkan cukai berkenaan dikutip.

“Pada pendapat saya, syarikat besar tidak akan menghadapi masalah dengannya, tetapi mungkin syarikat yang lebih kecil berdepan masalah,” katanya.