Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Madius Ta­ngau berkata, pada ketika negara giat membangunkan ekonomi digital, lebih banyak operasi ma­nual atau tradisional harus didigi­talkan, contohnya dalam sektor pengurusan sumber manusia.

Menurut beliau, teknologi pentaksiran digital bukan lagi satu pilihan tetapi keperluan dalam usaha melahirkan tenaga kerja yang dapat menyumbang kemahiran secara berkesan kepada negara me­nuju revolusi industri keempat.

“Dalam dunia tidak menentu dan persekitaran sukar difahami, peranan psikometrik menjadi semakin penting. Organisasi harus menyedari hakikat bahawa pentaksiran saintifik sebenarnya wujud setiap hari di sekeliling kita.

“Masalah di abad ke-21 memerlukan penyelesaian abad ke-21. Contohnya, apabila integriti dan ketelusan semakin diperhalusi dalam pentadbiran, pendigitalan proses pemilihan menjadi bertambah penting,” katanya pada majlis pelancaran Teknologi Pentaksiran Digital di Bukit Jalil, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Seri Dr. Mohd. Azhar Yahaya; Pre­siden dan Ketua Pegawai Ekse­kutif MIMOS Berhad, Datuk Abdul Wahab Abdullah dan Ketua Pengarah Jabatan Stan­dard Malaysia, Datuk Fadilah Baharin.

MIMOS mula menjalankan aktiviti penyelidikan dan pemba­ngunan (R&D) psikometrik pada 2009. Kini, lapan tahun berlalu, terdapat sebanyak 20 orga­nisasi mengguna pakai ekosistem tersebut termasuk enam kementerian.

Pada majlis itu, dua stan­dard antarabangsa telah diterima guna sebagai Standard Malaysia (MS ISO) yang menyediakan garis panduan bagi agensi kerajaan dan swasta dalam pelbagai tujuan seperti kenaikan pangkat dan penempatan kakitangan.

Madius berkata, ekosistem psikometrik juga selari dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bulan lepas bahawa satu-satunya cara yang mampu membawa negara berkembang dua digit adalah dalam sektor digital.