Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Amirudin Abd. Kadir berkata, selain motosikal Dominar 400cc, syarikatnya itu juga bercadang menawarkan motosikal utiliti Boxer 150cc di pasaran Malaysia.

Bagaimanapun katanya, cadangan untuk membawa masuk Boxer masih di peringkat awal dan ia tertakluk kepada kajian sama ada terdapat permintaan bagi motosikal tersebut di Malaysia atau sebaliknya.

“Hasil kerjasama dengan BAL, kami bakal meneroka segmen baharu iaitu ‘street bike’ yang dijangka meningkatkan jualan dan penguasaan pasaran Modenas pada tahun-tahun akan datang.

“Kami sedang mengadakan persiapan untuk membawa masuk model Dominar ke Malaysia. Selain spesifikasinya yang menarik, har­ganya juga akan memenuhi citarasa penggemar motosikal negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada wakil media Malaysia ketika bersama-sama me­ngadakan lawatan ke Ibu pejabat BAL di Pune, India baru-baru ini.

Yang turut serta, Presiden Perniagaan Antarabangsa BAL, S. Rakesh dan Pengurus Besar Perniagaan Antarabangsa BAL, D. Sameer.

Seramai 35 pengedar dan 20 wakil media Malaysia berada di India minggu lepas bagi mendapatkan pandangan mengenai operasi BAL serta memandu uji beberapa motosikal syarikat itu.

Selepas me­nem­pah kejayaan bersama jenama skuter Taiwan iaitu Kymco, Modenas kini mempertaruhkan BAL sejak Mei lalu untuk kembali membantunya menguasai bahagian pasaran yang lebih besar di Malaysia.

Amirudin berkata, disebabkan BAL tidak mempu­nyai hab di rantau ASEAN, pelbagai usaha sedang dirancang untuk menjadikan kilang Modenas di Gurun, Kedah sebagai kemudahan pemasangan dan pengeluaran.

“Kilang ini hanya beroperasi dengan kapasiti tahunan sebanyak 50,000 unit motosikal, namun ia mampu untuk mengeluarkan sejumlah 120,000 unit motosikal setahun, malah le­bih,” katanya.