Kilang yang terletak bersebe­lahan kilang lama itu akan menggunakan sepenuhnya tenaga biomas dengan anggaran penggunaan 1,800 metrik tan biomas kelapa sawit setiap hari apabila beroperasi kelak.

Pengurus MNI, Ir. Loo Ling Wah berkata, pembinaan kilang berkenaan akan dimulakan tahun ini di kawasan seluas kira-kira-kira 66.7 hektar.

“Pembinaan kilang ini akan melibatkan tiga fasa yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dan pada masa ini perunding dari China telah menyiapkan reka bentuk terakhir.

“Apabila siap kilang baharu ini, kita menjangkakan dapat meningkatkan pengeluaran kertas daripada 240,000 tan setahun pada masa ini kepada 1 juta tan setahun,” katanya sempena lawatan kerja Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir di sini, kelmarin.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MNI, Lei Jiang Bo. 

Pada majlis itu juga MNI turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM12,000 bagi menambah baik Hutan Reakrasi Taman Tasik Chatin di sini.

Menurut Ling Wah, kilang baharu berkenaan akan memfokuskan kepada pengeluaran kertas untuk kegunaan percetakan dan tulisan bagi kegunaan harian.

Beliau memberitahu, pengeluaran daripada kilang berke­naan disasarkan untuk dieks­port ke luar negara iaitu 60 peratus daripada keseluruhan khususnya ke China.     

Sementara itu, Mohd. Anuar berharap kewujudan MNI di situ akan memberi manfaat kepada penduduk setempat dan mewujudkan pembangunan berterusan serta peluang pekerjaan.

“Saya juga berharap MNI akan terus memperbanyakkan lagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat,” ujarnya.