Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tomoyuki Shinnishi berkata, jumlah tersebut meru­pakan yang tertinggi pernah dicapai oleh MMM sepanjang 13 tahun beroperasi.

Menurut beliau, prestasi kukuh itu dipacu oleh peningkatan jualan model Triton dan Outlander dengan masing-masing mencatatkan pertumbuhan sebanyak 68 peratus dan 482 peratus.

“Jualan Outlander mening­kat dengan ketara kepada 1,345 buah pada separuh pertama tahun kewangan 2018 berbanding 231 buah bagi tempoh sama 2017.

“Peningkatan jualan ini turut dibantu oleh tempoh cuti cukai yang bermula Jun sehingga Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Shinnishi, penyesuaian varian Triton terhadap keperluan pelanggan pada akhir tahun lalu bukan sahaja melibatkan aspek kawalan, pres­tasi dan keselamatan, malah harga yang ditawarkan juga adalah mampu milik.

Katanya, Triton menjadi trak pikap tunggal yang menawarkan had perbatuan sehingga 200,000 kilometer atau lima tahun jaminan yang mana ia memberikan kele­bihan kepada pemilik untuk mengembara lebih jauh.

“Sementara itu, jualan Outlander yang menggalakkan didorong oleh pengenalan model pemasangan tempatan (CKD) pada September 2017, harganya yang berpatutan dan tempoh cuti cukai,” ujarnya.