Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, bagi memperkasakan program berke­naan, MITI melaksanakan beberapa aktiviti sokongan seperti sesi padanan perniagaan menerusi program GLC ExplorAce.

Katanya, GLC ExplorAce meru­pakan inisiatif kerajaan bagi menyediakan platform untuk vendor bumiputera di bawah seliaan syarikat anchor yang terlibat dalam PPV untuk menerokai peluang perniagaan baharu.

“KPI kita pada tahun lalu juga sebanyak 40 buah syarikat dan kita berjaya merekodkan seba­nyak 90 buah syarikat pada tahun ini.

“Yang penting program ini adalah untuk mempamerkan kemampuan vendor-vendor supaya mereka dapat memperluaskan pasaran dan kita juga hendak menggalakkan lebih banyak syarikat anchor untuk menyertai program ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program GLC ExplorAce di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ke­tua Setiausaha MITI, Datuk Nik Rahmat Nik Taib; Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby, Tan Sri Mohd. Bakke Salleh; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Group, Datuk Izzaddin Idris dan Ketua Bahagian Kewangan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Azizi Mustafa.

Sementara itu Azizi berkata sebanyak RM523.6 juta pinjaman telah diluluskan kepada 122 buah syarikat melalui pinjaman kepada syarikat vendor berdaftar oleh MIDF di bawah PPV MITI sehingga 30 Jun tahun ini.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, jumlah bantuan pinjaman mudah yang diberikan MIDF sejak penubuhannya pada tahun 1960 adalah sebanyak RM13.7 bilion.

“Bagi kelulusan pinjaman syarikat bumiputera sehingga 30 Jun 2017 pula, sebanyak 2,630 syarikat telah dibantu sejak 1960 yang melibatkan jumlah pinjaman diluluskan sebanyak RM4.9 bilion,” katanya.

Beliau berkata, MIDF juga komited untuk meneruskan program-program skim-skim pinjaman mudah sedia ada dan baharu bagi menyokong pembangunan syarikat-syarikat tempatan.