Menurut MITI, dalam pentadbiran sebelum ini, beberapa syarikat kenderaan telah mendapat insentif secara terus da­ripada Kementerian Kewangan (MoF) dan memintas ABDC.

Katanya, banyak permohonan telah diluluskan tanpa penilaian yang komprehensif dalam menentukan pulangan pelaburan kepada kerajaan.

“Bagaimanapun, selaras de­ngan hasrat kerajaan baharu, MoF dan MITI secara kolektif bersetuju bahawa proses membuat keputusan oleh ABDC mestilah telus, adil dan menyeluruh.

“Ia terutamanya bagi memastikan insentif diberi dan diedarkan kepada penerima yang layak dan berhak mengikut peraturan dan garis panduan ditetapkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ini susulan kenyataan Persa­tuan Automotif Malaysia (MAA) semalam yang membidas tindakan kerajaan yang didakwa lewat meluluskan harga model kereta baharu sekali gus menjejaskan perancangan ahli-ahli­nya untuk membuat pelancaran.

Presidennya, Datuk Aishah Ahmad berkata, tempoh me­nunggu kelulusan boleh mencapai antara lima dan tujuh bulan yang dikhuatiri akan menjejaskan jualan kenderaan baharu tahun ini.

Sehubungan itu, MITI menjemput MAA dan pemain industri lain untuk rundingan lanjut berkaitan isu berkenaan dan bersama menangani rasa tidak puas hati untuk memudahkan pertumbuhan industri automotif.

Dalam pada itu, MITI memberitahu ABDC bukan baru ditubuhkan seperti yang dilaporkan oleh portal The Edge sebaliknya ia sudah wujud sejak 2006.

ABDC bertujuan memudahkan proses membuat keputusan dalam menentukan kuantum insentif untuk dipinjamkan kepada syarikat kenderaan.

Sejak 2006, ahli-ahli MAA telah memohon insentif daripada ABDC.