Niaga hadapan minyak mentah Brent menokok 2.6 peratus kepada AS$67.06 (RM273.92) setong iaitu paras tertinggi sejak Mei 2015, sementara WTI pula naik 2.6 peratus kepada AS$59.97 (RM244.95) setong, harga tertinggi sejak 25 Jun 2015.

Saluran paip kendalian Waha Oil Company yang membawa minyak ke terminal Es Sider meletup sekali gus mengurangkan pengeluaran negara terbabit sebanyak antara 70,000 hingga 100,000 tong sehari.

Dalam pada itu, Arab Saudi menjangkakan hasil daripada minyak akan melonjak 80 peratus menjelang 2023 yang bakal membantu kerajaan itu mencatat lebihan belanjawan pertama dalam tempoh sedekad.

Minyak sedang menuju pe­ningkatan buat kali kedua dalam setahun selepas anggota OPEC dan sekutunya termasuk Rusia meneruskan usaha untuk me­ngurangkan bekalan menjelang hujung tahun 2018.

Harga turut meningkat bulan ini selepas paip di United Kingdom yang juga terpenting di dunia ditutup kerana retak, namun saluran telah dimulakan semula secara berperingkat di kemudahan Kinneil, jelas pengendalinya, Ineos Group.

“Letupan saluran paip di Libya adalah jauh lebih serius kerana mungkin mengambil masa yang lama untuk kembali pulih, ia berkemungkinan memacu harga minyak dalam jangka masa panjang.

“Gangguan itu juga dianggap cukup memudaratkan untuk mengeringkan sebahagian daripada lebihan bekalan global,” kata Kim Kwangrae, penganalisis komoditi di Samsung Futures Inc. di Seoul. – agensi

Pengeluaran di Libya yang mengalami pelbagai penutupan dan gangguan akibat bantahan, kegagalan kuasa dan rusuhan, meningkat kepada kira-kira satu juta tong sehari tahun ini iaitu tahap tertinggi dalam tempoh empat tahun.

Apa sahaja yang mengurangkan pengeluaran seperti letupan yang berlaku 130 kilometer di selatan Sidra itu mengurangkan tekanan terhadap usaha OPEC untuk mengawal lebihan bekalan. - AGENSI