Beliau bagaimanapun, tidak memberikan sebarang angka terkini kerana perkara itu sedang dikumpulkan.

Beliau mengakui pada peringkat awal perubahan kerajaan, minat pelabur di Malaysia terjejas kerana kerajaan baharu dan barisan kabinet sedang dibentuk, namun selepas itu ramai pelabur termasuk dari Jepun mula menunjukkan semula minat mereka.

“Ini kerana kita ada cerita yang baik untuk diberitahu kepada mereka termasuk mempunyai seorang Perdana Menteri berusia 93 tahun memimpin negara selain barisan kabinet baharu yang sudah bersedia dengan idea baharu,” katanya selepas merasmikan Persidangan Dasar Pandang ke Timur (LEP) 2018 anjuran Alumni LEP (ALEPS) dan i2M Ventures, anak syarikat Khazanah Nasional, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan i2M Ventures, Zulfiqar Zainuddin yang juga Presiden ALEPS dan Pengarah Perkhidmatan Informasi di Kedutaan Jepun, Etsuko Kurihara.

Ditanya berhubung laporan mengatakan terdapat banyak syarikat di Singapura menunjukkan minat untuk berpindah ke Johor, terutamanya Iskandar Malaysia kerana kos yang lebih murah, Kian Ming percaya perkara itu bukan hanya disebabkan faktor berkenaan, malah bukti kerja keras yang dilakukan pihak terlibat.

“Ini kerja keras yang telah dilakukan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Khazanah Nasional termasuk i2M Ventures dalam mewujudkan ekosistem yang terbaik di Iskandar Malaysia.

“Ekosistem yang disediakan itu juga bukan hanya tertumpu dalam sektor pembuatan, malah pelbagai sektor seperti pendidikan dan perkhidmatan yang sedang berkembang di wilayah pembangunan tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE