Aminuddin Sham
Aminuddin Sham

Pengarah Unit Makanan, Halal dan Biotek Matrade, Aminuddin Sham Tajuddin berkata, pameran edisi ke-14 yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan memberi perhatian khusus kepada produk dan perkhidmatan halal dalam rantaian bekalan global seperti sektor makanan dan minuman (F&B) serta kosmetik.

Jelasnya, penganjuran MILE melalui Mihas 2017 untuk mempromosi barangan Muslim seperti fesyen, pendidikan dan kesusasteraan Islam serta seni Islam akan memberi nilai tambah kepada pela­wat yang mengunjungi pameran berkenaan selaras dengan usaha menggalakkan perdaga­ngan pro­duk dan perkhidmatan gaya hidup Islam ke seluruh dunia.

“Mihas dianjurkan buat kali pertama pada 2004 sebagai platform bagi mempromosi dan memasarkan produk serta perkhidmatan halal Malaysia ke peringkat antarabangsa terutama buat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Penganjuran MILE tahun ini dapat memberi lebih peluang kepada pengusaha memasarkan produk halal mereka ke pasaran tempatan dan antarabangsa selain komponen sedia ada seperti sesi pemadanan perniagaan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP), sesi taklimat perdagangan dan aktiviti promosi produk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mihas 2016 menarik penyertaan sebanyak 539 syarikat tempatan dan antarabangsa dari 29 negara dengan kehadiran 22,000 pengunjung serta berjaya menjana jualan bernilai RM1.14 bilion dengan RM578.62 juta hadir daripada INSP.

Mengulas lanjut, Aminuddin Sham berkata, Matrade menyasarkan kenaikan positif menerusi pe­ningkatan penyertaan peserta pameran bagi Mihas 2017 sekali gus mengekalkan keduduk­an sebagai penganjur pameran perdagangan halal terbesar di dunia.

Katanya, Mihas 2017 dijangka menarik penglibatan 550 syarikat tempatan dan antarabangsa dari lebih 30 negara dengan sa­saran seramai 25,000 pengunjung.

“Setakat ini, beberapa syarikat antarabangsa sudah mengesahkan penyertaan termasuk dari negara-negara ASEAN, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, China, Sri Lanka, Pakistan, Iran, Palestin, Arab Saudi, Afrika Selatan, Tunisia, Turki, Brazil, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.