Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Mihas 2017: Matrade sasar jualan INSP RM400 juta

Abu Bakar Koyakutty (kiri) dan Aminuddin Sham Tajuddin mengadakan
Abu Bakar Koyakutty (kiri) dan Aminuddin Sham Tajuddin mengadakan sidang akhbar mengenai Program Penyumberan Antarabangsa Matrade sempena Mihas 2017 di Kuala Lumpur, semalam. utusan/AMIR HAFIZ ABD RAHMAN

KUALA LUMPUR 4 April – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan jualan bernilai RM400 juta menerusi Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) daripada 172 pembeli luar negara yang dianjurkan sempena Pa­meran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2017.

Pengarah Kanan Perkongsian Antarabangsa dan Akses Pasaran Matrade, Abu Bakar Koyakutty berkata, INSP merupakan platform terbaik bagi syarikat tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melebarkan sayap perniagaan ke pasaran antarabangsa tanpa perlu menanggung kos tinggi untuk memasarkan produk.

Beliau berkata, unjuran INSP kali ini adalah lebih rendah berbanding RM478.66 juta yang dicatatkan daripada lebih 300 pembeli asing tahun lalu.

“Lebih 2,000 pertemuan perniagaan diatur melibatkan kira-kira 500 syarikat tempatan dengan pembeli luar negara me­rangkumi 46 negara termasuk dari China, India, Jepun, Thailand dan Poland dalam INSP kali ini.

“Walaupun sasaran yang di­letakkan kali ini lebih rendah, namun kami yakin delegasi luar negara yang hadir kali ini mempunyai kualiti dan potensi tinggi yang mampu membantu syarikat tempatan melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada pemberita dalam program INSP di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Unit Makanan, Halal dan Biotek Matrade, Aminuddin Sham Tajuddin.

INSP merupakan inisiatif Matrade melalui sesi pemadanan perniagaan sempena Mihas bagi menggalakkan penyertaan syarikat tempatan melakukan pertemuan dengan pembeli antarabangsa seluruh dunia untuk membolehkan pengembangan perniagaan ke pasaran luar.

Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata, antara sektor yang terlibat dalam INSP termasuklah produk makanan dan minuman yang dijangka masih menjadi penyumbang jualan terbesar tahun ini selain peningkatan produk lain seperti farmaseutikal, kosmetik, perhotelan dan pelbagai sektor lain.

Jelasnya, sektor perkhidmatan kewangan Islam turut diper­kenalkan tahun ini yang menarik perhatian banyak syarikat luar bagi mendapatkan perkhidmatan halal selain membuktikan produk halal bukan sekadar makanan dan minuman.

“Selain sesi pemadanan perniagaan, Matrade turut mengadakan taklimat mengenai peluang pelaburan di Malaysia yang akan dikelolakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan lawatan kerja kumpulan institusi dari lapan buah negara iaitu Nepal, Filipina, India, Singapura, Taiwan, Ivory Coast, Thailand dan Korea Selatan.

“Sesi makan malam turut diadakan bagi menambahkan lagi nilai kepada lawatan delegasi antarabangsa sekali gus mempromosi industri halal negara ini,” katanya.

Mihas 2017 yang akan bermula esok sehingga Sabtu ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur akan dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membabitkan 580 pempamer produk dan perkhidmatan halal dari 33 buah negara.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain