Azman Mahmud

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, pemain industri akan meraih banyak manfaat daripada bengkel tersebut terutama dari segi pe­nerapan inovasi dan teknologi menerusi kerjasama tersebut.

Katanya, Industri 4.0 yang me­libatkan penggunaan robot automatik dan pertukaran data da­lam teknologi perkilangan akan meningkatkan ku­aliti pengeluaran dan secara tidak langsung memberi keuntungan lebih besar, mengurangkan tenaga buruh tidak mahir, meningkatkan produktiviti dan mewujudkan pekerjaan yang lebih berkualiti untuk penduduk tempatan.

“Sehubungan itu, kita berharap dengan kerjasama ini, syarikat-syarikat tempatan dapat memanfaatkan penggunaan jenama Jerman yang berkualiti tinggi dalam produk dan per­khidmatan mereka seterusnya memperkukuhkan kedudukan Ma­laysia di pasaran global,” kata­nya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Bengkel Industri 4.0 di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Tapio Management Advisory (Tapio), Bernhard Schutte.

MIDA menganjurkan bengkel tersebut dengan kerjasama Bavaria International (Jerman) dan Tapio serta Invest Selangor, Pusat Pelaburan Negeri Johor (JSIC) dan Invest Penang. Bengkel tersebut akan diadakan dalam tiga siri iaitu di Selangor pada 21 Ogos diikuti Johor (23 Ogos) dan Pulau Pinang (25 Ogos).

Bengkel itu akan menyaksikan penyertaan dua pakar industri dari Jerman iaitu Pengarah Urusan TUM International, Daniel Gottschald iaitu pakar Industri 4.0 dari Technical University Munich dan Ketua Pegawai Eksekutif Bavaria International, Hans-Joachim Heusler.

Menurut Azman, Jerman me­rupakan satu daripada pelabur asing terbesar di Malaysia dalam ka­langan negara Kesatuan Eropah dan sehingga 2016 menyumbang sebanyak RM31.21 bilion pelaburan melibatkan 417 projek pembuatan yang mewujudkan 44,833 peluang pekerjaan.

“Pelabur-pelabur dari Jerman terus menunjukkan keyakinan yang tinggi terhadap Malaysia dan ini terbukti apabila MIDA meluluskan pelaburan berjumlah RM2.65 bilion pada tahun lalu menerusi 21 projek pembu­atan de­ngan fokus antaranya bagi produk elektrikal dan elektronik, fabrikasi logam serta mesin dan peralatan,” katanya.

Sementara itu, Schutte berkata, Malaysia memiliki banyak potensi sebagai gerbang utama pelaburan bagi syarikat Jerman di rantau ASEAN khususnya me­mandang­kan kedudukan negara yang strategik, memiliki kepelbagaian kaum dan bahasa serta tenaga kerja profesional yang berpenge­tahuan dan berkemahiran tinggi.