TAN CHENG KIAT

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Datuk Tan Cheng Kiat berkata, ketika ini kemasukan secara haram bagi produk berkenaan sahaja menyebabkan kerugian kepada hasil cukai kerajaan dianggarkan mencecah RM8 bilion setahun.

Sehubungan itu ujarnya, pasukan yang ditubuhkan itu perlu membabitkan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

“Kita berharap cadangan pelaksanaan SMAT Force ini dapat membantu kerajaan mengutip semula hasil antara RM3 bilion hingga RM4 bilion menjelang 2020. Ini kerana Malaysia kini berdepan situasi penyeludupan yang serius dan jika dibiarkan secara berterusan akan mengancam kekayaan ekonomi negara.

“Dalam masa sama, pelabuhan kita juga mudah dibolosi sekali gus menggalakkan banyak aktiviti penyeludupan haram dijalankan. Kita perlu menyedari, akti­viti black market ini semakin menular, justeru adalah penting tindakan segera diambil bagi menangani kebocoran kepada hasil kerajaan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden MICCI, Azrani Rustam dan Christina Tee serta Ahli Jawatankuasa Am MICCI, Renuka Indrarajah.

Antara isu utama yang dibangkitkan pada sidang akhbar itu termasuklah amalan cukai yang tidak seimbang, kebocoran hasil kerajaan dan dasar perniagaan yang tidak jelas.

Ini mendorong MICCI untuk mencadangkan penubuhan konsep pusat sehenti bagi memudahkan proses permohonan dan mendapatkan kelulusan pelaburan sekali gus dapat mengurangkan pelbagai kerenah birokrasi.

Menurut Cheng Kiat, pusat sehenti itu berupaya menyelaras dan mempercepatkan kelulusan serta memastikan peraturan yang diguna pakai adalah konsisten supaya dapat memberi manfaat kepada pelaburan di negara ini.

“Kami mahu bekerjasama dengan kerajaan secara berterusan terma­suk pembuat dasar dan industri untuk mencari langkah-langkah yang bersesu­aian dalam meningkatkan pelaburan langsung asing,” katanya.

Ditanya mengenai tuntutan bayaran balik cukai barang dan perkhidmatan (GST), beliau berkata, setakat ini tiada jumlah yang tepat melibatkan lebih 1,000 anggotanya tetapi ia dianggarkan mencecah ratusan juta memandangkan sebahagian besa­r­nya adalah pengeksport.