MHub dalam kenyataannya berkata, kerjasama rasmi itu susulan memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani MHub dan Tongdun pada Disember 2018.

Katanya, platform Malaysian Proptech itu dihubungkan dengan Tongdun sebagai pemudah cara pertukaran pengetahuan dua hala untuk meningkatkan lagi inovasi dan keselamatan sektor harta tanah.

“Bidang kerjasama termasuk pembangunan pengesahan identiti dalam talian (e-KYC), peningkatan pengesanan penipuan, dan pemodelan bersama bagi mata kredit alternatif,” katanya di si sini hari ini.

Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif MHub, Quek Wee Siong berkata, kerjasama itu akan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna kerana ia membolehkan mereka membuat pengesahan identiti mereka secara dalam talian tanpa sempadan dengan hanya menggunakan telefon pintar.

“Tongdun dan MHub berkongsi matlamat sama untuk membantu orang ramai memiliki hartanah impian mereka dengan menjadikan proses penjualan dan pembelian lebih mudah, lebih cepat dan lebih selamat.

“Kerjasama ini merupakan langkah penting bagi pertumbuhan MHub sebagai peneraju ruang pasaran hartanah digital kerana kami kini mempunyai data besar pintar berasaskan analitik untuk melindungi pengguna kami daripada risiko dan penipuan internet,” katanya. - BERNAMA