Naib Presiden Jualan dan Pemasarannya, Mark Raine berkata, untuk pasaran Malaysia Mercedes-AMG G 63 dijual pada harga RM1.46 juta sebuah, GLC 63 S 4Matic (RM915,888) dan GLC 63 S Coupe 4Matic (RM933.888).

Beliau berkata, model GLC 63 4Matic dan GLC 63 Coupe dikuasakan oleh enjin 4.0 liter biturbo V8 yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 510hp pada puncak kuasa kilas 700Nm.

“Ia juga dilengkapi dengan transmisi 9 kelajuan MCT Speedshift AMG dengan dua pengecas turbo yang mampu memecut dari keadaan pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 3.8 saat.

“Enjin tersebut mempunyai kelajuan maksimum mencecah 270 kilometer sejam (km/j),” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

SUV tersebut juga didatangkan dengan empat mod pemanduan AMG Dynamic Select iaitu Comfort, Sport, Sport Plus dan Individual.

Sementara itu, Mercedes-Benz G-Class pula hadir dengan kemasan luaran yang lebih mo­den, konsol tengah yang direka semula serta roda stereng sport dengan pelbagai fungsi.

Model Mercedes-AMG G 63 hanya didatangkan dalam satu varian dengan enjin 4.0 liter V8 biturbo dengan kuasa maksimum 585hp dan kuasa kilas 850Nm.

Ia mampu memecut dari sifar ke 100 km/j dalam tempoh 4.5 saat.

Model itu dilengkapi dengan ciri-ciri termaju seperti pemanduan pintar dengan pakej bantu pemandu, sistem bunyi Burmester Surround serta Keyless Go.

Ia juga hadir dengan mod pemanduan off-road iaitu Sand, Trail dan Rock yang memboleh­kan sistem suspensi bertindak balas terhadap permukaan jalan yang berbeza bagi menawarkan pemanduan yang lebih mantap.