Sama seperti ingin lulus apa jua peperiksaan, untuk menjadi penulis yang mahir, anda ha­nya perlu rajin secara konsisten dalam dua perkara, membaca dan berlatih. Mengapa? Pertama, anda dapat perhatikan bagaimana melihat satu corak atau konsep yang sesuai untuk digunakan. Kedua, anda mampu berkongsi mesej tertentu melalui penyediaan perkataan dan ayat yang sesuai dan ketiga, anda mampu ‘pedaskan’ penceritaan tadi yang akan memberikan impak yang jauh lebih besar lagi agar pembaca kekal membaca sehingga habis.

Penulisan juga akan membuatkan pemikiran anda lebih berstruktur dan sistematik. Sebelum ini, apabila kita berfikir tentang sesuatu, setiap perkara yang berkaitan akan berada di dalam fikiran kita secara berselerak. Cuba anda tuliskan di kertas. Anda akan ‘dipaksa’ untuk membentuk satu cerita yang perlu mempunyai permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Malah cerita ini pula perlu difahami oleh pembaca.

Tahniah sekiranya anda mampu menulis dengan baik dalam Bahasa Malaysia, Inggeris atau kedua-duanya. Secara automatik anda akan berjaya untuk mendapatkan autoriti yang baik daripada pengikut di media sosial dan juga di enjin penca­rian. Takziah pula saya ucapkan sekiranya anda tidak mampu menguasai penulisan dengan baik kerana bakal menghadapi masalah yang serius nanti.

Apakah yang membuatkan sesuatu penulisan itu berkualiti dan dibaca oleh orang lain?

Tajuk kreatif.

Ini untuk menarik perhatian pembaca. Kebanyakan pembaca akan membuat tatalan atau scrolling pada skrin peranti mereka sehingga berhenti pada tajuk penulisan yang kreatif. Tajuk penulisan yang kreatif dan menarik akan menarik perhatian pembaca dengan lebih baik. Begitu juga dengan gambar dan video. Pembaca akan berhenti cuma pada gambar dan video yang kreatif dan menarik. Jadi, pastikan tajuk penulisan anda menarik.

Cerita juga menarik.

Perhatian pembaca tadi pada mulanya akan diberikan kepada tajuk. Setelah melihat tajuk menarik, mereka ingin terus membaca apa yang anda tulis. Jadi pastikan juga bahan penulisan anda tadi menarik. Sekiranya tidak, mereka akan terus berhenti dan keluar ke tempat lain.

Penggunaan perkataan dan ayat yang mudah difahami.

Jangan cuba nak berlagak hero walaupun anda seorang pakar dalam subjek tertentu. Penulisan yang baik ialah sekiranya anda mampu mengolah sesuatu yang kompleks dan teknikal menjadi lebih mudah dan se­nang difahami oleh pembaca.

Ejaan dan tatabahasa betul.

Ramai yang mampu bercakap dengan baik tetapi tidak ramai yang menulis dengan baik. Ejaan yang sentiasa salah dan tatabahasa yang berselerak akan memperlihatkan kredibiliti jenama peribadi anda sendiri yang kurang me­yakinkan kepada para pembaca dan bakal pe­langgan. Ia akan menyukarkan perjalanan anda untuk mendapatkan autoriti yang baik.

Ayat pendek tetapi padat.

Anda juga tidak perlu menulis ayat yang panjang kerana ia sa­ngat menyusahkan pembaca untuk memahami apa yang cuba disampaikan. Gunakan ayat yang pendek tetapi padat dengan isi. Yang penting, aliran ceritanya mesti tersusun dan tidak bertera­bur.

Tidak terlalu formal dan tidak terlalu kasual.

Tiada siapa yang ingin membaca buku teks sekolah. Sekiranya penulisan anda sebegini, mereka akan terus lari daripada membaca apa yang ditulis. Ja­ngan terlalu formal dan jangan terlalu kasual, perlu seimbang di antara kedua-duanya.

Satu mesej dalam satu masa.

Jangan sesekali memasukkan pelbagai mesej dalam satu ayat atau perenggan yang sama. Pembaca tidak akan faham apa yang cuba anda sampaikan. Asingkan satu mesej dengan mesej yang lain. Baru senang mereka baca dan faham.