Tetapi pemandangan indah di sepanjang tebing sungai tersebut yang melangkaui beberapa buah negara termasuk Hungary sudah tentu berbeza di negara kita.

Malah Sungai Danube turut melepasi Budapest iaitu ibu negara Hungary dengan kecantikan bangunan yang mempunyai reka bentuk lama dan me­ngagumkan sememangnya tidak boleh dinafikan terutama jika dilihat pada waktu malam.

Sebenarnya Budapest itu sendiri mempunyai makna de­ngan memisahkan antara dua bandar iaitu Buda di bahagian barat dan Pest di bahagian timur.

Selain itu, Hungary juga mempunyai sejarah dan budaya yang berlatar belakangkan Roman, Turki dan Slavic. Jika siri terdahulu Pasport UtusanBiz menceritakan mengenai Poland dan Bosnia Herzegovina, Hungary juga antara negara cantik dan tidaklah begitu mahal jika ingin bercuti di sini.

Malah kedudukannya juga amat sesuai jika anda bercadang memulakan perjalanan melepasi beberapa buah negara. Sebagai contoh ada pelancong memulakan perjalanan dari Croatia, seterusnya Slovenia dan Hungary atau ada juga yang bermula dari Prague, Republik Czech.

Cuma pelancong dari Malaysia tiada penerbangan secara terus ke Hungary (setakat ini). Penerbangan biasanya akan berhenti (bergantung kepada syarikat penerbangan) di sesebuah bandar atau negara sebelum bergerak ke negara ini

Jadi sebab itu ada baiknya mulakan perjalanan terlebih dahulu di negara lain supaya apa yang dibelanjakan menjadi lebih berbaloi.

Satu perkara harus diketahui negara ini menggunakan mata wang Hungary Forint (HF). Oleh itu, pelancong dari Malaysia perlu menukarkan wang Ringgit Malaysia kepada Euro atau Dolar Amerika Syarikat sebelum boleh menukarkannya kepada mata wang HF. Setakat ini kadar tukarannya adalah RM1 bersamaan 65 HF.

Kos perbelanjaan di sini pula adalah kira-kira RM150 sehingga ribuan ringgit (bergantung kepada perbelanjaan individu) sehari termasuk dengan kos penginapan di hostel dan juga makanan.

Tetapi ia tidak meliputi kos lain jika anda melawat ke sesuatu tempat yang me­ngenakan caj tertentu . Namun ada juga tempat yang tidak dikenakan caj seperti di Bangunan Parlimen (kawasan luar), ‘Fisher­man’s Bastion’, ‘Christmas Market’, ‘Hosok Tere’.

Bagaimana pula dengan makanan? Ini antara pertanyaan yang kerap diajukan sebelum ini bagi pelancong beragama Islam. Tidak perlu risau kerana banyak restoran milik rakyat Turki dan juga warga dari Asia Barat di sini.

Atau kenapa tidak anda memasak kerana mungkin juga inilah masa terbaik untuk me­nunjukkan kepakaran yang dimiliki di luar negara?

Dalam pada itu, daripada aspek pengangkutan juga sangat efisien terutama di tengah-te­ngah bandar. Bagi yang ingin ke negara lain sama ada Slovakia, Austria, Prague atau Slovenia anda mempunyai dua pilihan sama ada menggunakan kereta api atau bas.