Pertama, ingin saya nyatakan sekali lagi, ilmu pelaburan saham amat penting sebelum melibatkan diri dalam pasar­an saham. Pelabur dan pedagang saham juga perlu tahu berita-berita berkenaan pasar­an saham, faktor-faktor yang mempengaruhi turun naik harga saham serta sentimen pasaran tempatan dan global serta isu-isu semasa utama yang berpotensi mempengaruhi pasaran saham.

Ilmu saham pula termasuk ilmu analisis teknikal serta fundamental walaupun secara asas sahaja sudah memadai bagi seseorang itu untuk melibatkan diri dalam dunia saham.

Juga, tidak dinafikan pedagang saham lebih-lebih lagi yang aktif jual dan beli saham untuk jangka masa singkat perlu bertindak pantas membuat keputusan kerana sebagai pedagang saham kontra, anda mempunyai masa yang singkat untuk memegang saham yang telah dibeli.

Pedagang saham yang tidak membayar keseluruhan jumlah saham yang dibeli akan dijual paksa oleh pihak broker saham apabila tamat tempoh kontra.

Selain daripada itu, pedagang saham aktif yang berurus niaga dalam tempoh yang singkat perlu tahu tanda-tanda atau waktu pasaran saham akan mengalami pengambilan untung atau pembetulan harga.

Maka, sekiranya keadaan ini akan berlaku, pedagang saham kontra atau pedagang saham jangka masa singkat perlu cepat menjual saham apabila keuntungan atas kertas telah dilihat di dalam portfolio pelaburan.

Sekiranya saham yang dibeli itu masih belum untung atau harga telah turun sedikit, peda­gang yang takut harga akan turun lagi atau tidak mahu kerugian menjadi semakin besar, boleh menjual ketika rugi baru sedikit atau sekadar kerugian komisen jual dan beli sahaja.

Ini bukan sahaja berlaku pada sektor-sektor tertentu, tetapi keadaan ini berlaku kepada kese­luruhan pasar­an lebih-lebih lagi apabila jumlah dagangan semakin besar berbanding hari-hari sebelumnya.

Juga, kebanyak­an kaunter berada pada paras terlebih beli jika dilihat pada carta-carta saham. Sekiranya kita tidak pandai membaca carta saham, kita boleh lihat pada kenaikan harga saham yang banyak.

Sebagai contoh, saham-saham penny atau saham-saham berharga 30 sen dan ke bawah telah naik sekali ganda daripada harga semasa ketika harga pasaran masih belum naik lagi.

Ataupun semasa indeks pasaran jatuh atau mendatar, saham syarikat ABC berlegar-legar pada harga 20 sen hingga 22 sen. Apabila pasaran sema­kin naik, harga saham menjadi 40 sen.

Maka, ini memberi isyarat bahawa adanya pengambilan untung secara besar-besaran oleh pedagang dan pelabur yang membeli saham sewaktu harga murah atau semasa harga saham belum bergerak naik.

Seperkara lagi, untuk mengelakkan harga saham yang dibeli berpotensi jatuh, elak­kan membeli saham-saham syarikat yang mengalami kerugian. Rugi berpanjangan atau rugi yang banyak amat bahaya kepada pemegang saham kerana syarikat tidak mampu membayar dividen serta pelabur tidak berminat untuk melabur dalam syarikat yang rugi.

Maka, minat belian pelabur akan berkurangan terhadap syarikat-syarikat yang berada dalam status kewangan negatif.

Syarikat yang mengalami kerugian demi kerugian juga kadang kala tidak berupaya membayar gaji kakitangan, bonus serta kemudahan-kemudahan lain. Justeru, pekerja akan berhenti mencari pekerjaan lain.

Ini akan menyebabkan operasi, pengeluaran serta perkhidmatan syarikat terjejas. Keadaan ini akan memburukkan lagi keadaan.

Kadang kala terdapat kes-kes seperti syarikat tersenarai tidak menghantar laporan kewangan kepada Bursa Malaysia pada waktu yang ditetapkan disebabkan kecelaruan sistem dalaman dan pengurusan syarikat tersenarai.

Maka, pihak Bursa Malaysia terpaksa mengambil tindakan memberi peringatan kepada syarikat-syarikat tersenarai yang bermasalah ini.

Pedagang dan pelabur saham juga digalakkan membaca atau mengambil tahu berita-berita tentang syarikat tersenarai. Berita-berita ini boleh didapati di platform urus niaga saham, laman web Bursa Malaysia juga di akhbar-akhbar tempatan serta laporan penyelidikan yang dihantar kepada pelanggan broker saham dan bank pelaburan.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran tentang perisian serta kegunaan Bursa Station ini boleh menghubungi Zuraida Mohd Zakaria melalui e-mel [email protected]ail.com