Umum mengetahui banyak faktor negatif dan peristiwa yang mengakibatkan kejatuhan pasaran saham sepanjang tahun lalu. Peristiwa yang paling tidak dapat dilupakan oleh pelabur dan pedagang saham di rantau ini ialah kekalahan parti Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang menyaksikan pertukaran kerajaan sekali gus mencipta sejarah negara.

Kesan daripada pertukaran kerajaan baharu itu mengakibatkan saham-saham berkaitan kerajaan atau syarikat milik kerajaan (GLC) jatuh dengan teruk hingga mencecah paras limit-down beberapa kali.

Selain itu, tercetusnya perang dagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang merupakan isu di peringkat global memburukkan lagi keadaan serta melambatkan proses pemulihan pasaran saham negara.

Dengan berlakunya beberapa peristiwa yang memberi kesan ke atas turun naik pasaran saham, tidak dinafikan ramai pelabur dan pedagang saham dibayangi perasaan takut dan fobia apabila mengalami kerugian demi kerugian disebabkan faktor-faktor itu.

Kadangkala perasaan takut dan fobia ini juga boleh mendorong pelabur atau pedagang saham membuat kesilapan berulang kali kerana tindakan yang dilakukan itu terlalu mengikut emosi dan perasaan walaupun mereka mempunyai ilmu penge­tahuan yang jitu.

Beberapa kesilapan yang biasanya dilakukan ialah seperti berikut:-

Terlalu kerap melakukan urus niaga singkat atau harian

Kebiasaannya pedagang ‘rempit’ ini akan meletakkan harga stop loss sebagai garis panduan untuk mengehadkan kerugian yang bakal dialami. Sebagai contoh, harga saham syarikat tersenarai ABC mengikut kajian atau pemerhatian ia akan mencecah 45 sen sesaham yang disebut sebagai aras harga halangan.

Pedagang ‘rempit’ ini membeli saham syarikat ABC pada harga 40 sen dan meletakkan harga stop loss pada harga 38 sen iaitu aras harga sokongan. Jika harga saham yang dibeli itu jatuh mencecah 38 sen, pedagang ‘rempit’ ini akan jual pada harga yang ditentukan itu.

Dalam kata mudah, tindakan meletakkan harga stop loss ini kerana ditakuti harga saham syarikat tersenarai ABC boleh berpotensi jatuh kurang daripada harga 38 sen iaitu 37 atau 36 sen atau lebih. Jika pelabur tidak menetapkan harga stop loss ini, ditakuti kerugian akan menjadi lebih besar lagi.

Bagaimanapun, tidak semua keadaan harga saham akan jatuh berterusan. Terdapat kes yang mana harga saham naik semula dan naik lebih tinggi selepas pedagang menjualnya pada harga stop loss tersebut.

Meletakkan 100 peratus kepercayaan kepada petua saham

Pelabur dan pedagang baharu sangat gemar mengikuti saranan membeli daripada kumpulan saham di media sosial Facebook, Telegram dan WhatsApp walaupun ada yang telah memasuki kelas pembelajaran saham.

Terdapat banyak kes pelabur baharu yang meletakkan sepenuh kepercayaan ke atas buy call atau saranan membeli sena­rai saham yang dikeluarkan oleh kumpulan-kumpulan itu tanpa membuat kajian terlebih dahulu.

Lebih malang lagi banyak ramalan saham itu tidak menjadi tetapi pelabur masih mengikuti senarai saham yang diberikan oleh individu tidak dikenali latar belakang, tiada profil pe­ngenalan diri serta tidak mempunyai lesen penasihat saham pasaran modal.

Cikgu Saham banyak meneri­ma cerita tentang pengalaman pelabur baharu yang terjerumus dengan petua-petua saham atau saranan membeli yang meng­akibatkan mereka mengalami kerugian sehingga mencecah ratusan ribu ringgit.

Lebih teruk lagi bila mereka masih mencari sumber-sumber yang boleh menyediakan petua saham ini walaupun telah menanggung kerugian demi kerugian. Ini disebabkan sikap menaruh harapan sekiranya terdapat mana-mana sumber yang boleh memberikan keuntungan untuk menutup kerugian lampau.

Pelabur baharu mengambil jalan mudah ini dengan alasan tidak perlu memperuntukkan masa membuat kajian saham dan mengikuti perkembangan dunia pasaran termasuklah berita-beri­ta tentang syarikat tersenarai.

* Menghadiri kelas pembe­lajaran saham yang tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti

Terdapat juga pelabur dan pedagang saham baharu mengikuti kelas-kelas pembelajaran saham yang tidak diiktiraf oleh Suruhanjaya Sekuriti. Malah, tenaga pengajarnya juga tidak diketahui latar belakang dan pengalaman dalam pasaran saham.

Orang ramai boleh menye­mak senarai individu dan syarikat yang telah disenarai hitam oleh Suruhanjaya Sekuriti dalam penganjuran kelas-kelas atau seminar saham yang tidak diiktiraf atau dianjurkan oleh individu-individu yang tiada pengiktirafan atau lesen pasaran modal.