Yakin dengan apa yang kita kaji dan lihat.

Setiap pelabur dan pedagang saham yang bijak akan membuat persiapan sebelum memasuki pasaran. Persiapan boleh jadi kajian saham menggunakan ilmu analisis teknikal mahupun fundamental atau mengumpul data dan maklumat saham. Data-data dan maklumat saham ini juga termasuk berita-berita positif yang merangsang pasaran saham sama ada berita dalaman atau luaran dan sebagainya.

Kajian tentang carta saham syarikat tersenarai menggunakan indikator-indikator analisis teknikal yang mempunyai potensi kenaikan dalam masa singkat atau sederhana serta penyata kewangan yang positif dengan projek-projek jangka panjang yang menyumbang kepada pertumbuhan syarikat tersenarai dibuat sebagai pemilihan kaunter berpotensi.

Maka, pelabur dan pedagang saham perlu yakin dan percaya bahawa pemilihan yang dibuat adalah tepat atau hampir tepat sebagai tindakan untuk membeli sesuatu saham syarikat tersenarai. Pendirian dan prinsip seseorang pedagang dan pelabur saham tidak perlu goyah jika tiba-tiba saham yang dibeli itu turun sedikit daripada harga beli kerana kemungkinan di saat kita membeli saham tersebut terdapat pengambilan untung oleh pedagang saham jangka pendek atau pedagang harian.

Pedagang dan pelabur saham perlu menunggu harga saham tersebut naik seperti yang dilihat pada carta saham dan berpegang kuat kepada kajian yang telah dibuat terdahulu. Tidak perlu kita cut loss jika harga saham jatuh sedikit sekiranya kajian telah dibuat kerana matlamat dan tujuan asal melabur untuk satu tempoh masa tertentu.

Keuntungan boleh jadi cepat atau lambat dalam urus niaga saham dan bukan jaminan bahawa saham yang dibeli akan terus naik pada waktu itu juga. Banyak faktor yang mempengaruhi kenaikan harga saham yang perlu kita ketahui dan pelajari. Keuntungan juga boleh jadi besar atau kecil. Pelaburan dalam pasaran saham juga boleh mengakibatkan kerugian jika tersilap percaturan.

Mensyukuri setiap keuntungan yang diraih.

Setiap keuntungan yang dijana itu perlu disyukuri. Tidak kiralah berapa banyak sekalipun walaupun keuntungan hanya RM50 yang dibuat dalam masa sehari dagangan. Jika kita menjana keuntungan untuk 10 hari dan setiap kali keuntungan ialah RM50 maka jika dijumlahkan keuntungan dalam masa 10 hari tersebut sudah menjadi RM500. Ini merupakan satu jumlah yang besar bagi seorang pedagang saham yang meletakkan modal pelaburan sebanyak RM2,000 sahaja.

Menanam ingatan bahawa pasaran saham ada setiap hari.

Ramai orang mengeluh sekiranya terlepas peluang untuk membuat keuntungan yang banyak semasa pasaran rancak. Ataupun menyesal dan merungut apabila sejurus menjual sesuatu saham yang telah disimpan lama, tiba-tiba harga naik lagi.

Dalam menangani segala keluh resah dan tekanan pe­rasaan di dalam tindakan jual beli saham, setiap pedagang atau pelabur saham perlu reda dan menerima setiap hasil yang diperoleh. Kemungkinan setiap kesilapan yang berlaku itu disebabkan kurangnya ilmu atau tindakan yang sambil lewa dalam membuat transaksi saham.

Kita perlu nyatakan di dalam hati bahawa esok masih ada dan masih ada ruang dan peluang untuk kita menjana keuntungan di masa depan.

Usah dikenang perkara yang telah berlalu.

Sekiranya seorang pedagang saham telah menjual sesuatu saham syarikat tersenarai yang telah dibeli dan selepas itu harga naik dengan banyak, anda tidak perlu menyesali tindakan tersebut. Anggaplah anda mempunyai peluang-peluang yang lain di masa akan datang. Tindakan sebegini kadang kala perlu kerana sekiranya anda membeli semula saham yang telah naik banyak kerana mengikut emosi, ditakuti harga saham tersebut akan turun kerana wujud pengambilan untung serta pembetulan harga.

Tidak perlu merasa tekanan menutup kerugian lampau.

Seorang pelabur atau pedagang saham tidak perlu me­rasa tertekan atau terdesak untuk membuat keuntungan bagi menutup kerugian lampau. Setiap tindakan jual dan beli saham perlu dilakukan dengan waras, bijak serta berilmu. Jangan teruskan membuat jual beli saham tanpa ilmu. Pelajarilah ilmu yang betul dan bersesuaian dengan matlamat pelaburan anda.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran tentang perisian serta kegunaan Bursa Station ini boleh mengisi borang di https://goo.gl/forms/Yzc7BID4wwAqoq2I1 atau hubungi Zuraida Mohd Zakaria melalui e-mel [email protected]