Dan mereka tertarik kepada Malaysia atas pelbagai faktor.

Menurut laporan EdgeProp.my yang memetik akhbar berbahasa Inggeris, antara faktor utama yang mempengaruhi pembeli rumah dari China adalah kadar pertumbuhan hartanah, keselamatan awam, akses kepada institusi pendidikan dan kemudahan penjagaan kesihatan. Dan Malaysia memiliki semuanya.

Pengurus Besar S P Setia, Tony Ling berkata, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang baik, akses bagus kepada pusat beli-belah dan kos kehidupan yang rendah merupakan kekuatan Malaysia di dalam menarik pelabur hartanah asing.

Satu lagi faktor mendorong orang China beramai-ramai me­labur ke dalam pasaran hartanah Malaysia ialah harga rumah kediaman yang sangat mahal di kota-kota besar China.

Naib Presiden Persatuan Pembangunan Perdagangan Asia-Eropah, Chen Chao berkata, harga rumah kediaman di China telah meningkat melangkaui tahap mampu milik di kebanyakan tanah besar China.

Chen memberi contoh Beijing di mana rumah kediaman di pusat kota telah mencecah 100,000 yuan setiap kaki per segi atau RM60,278.

“Bagi kota tahap kedua pula, ia mencecah 40,000 yuan (RM24,111) kaki per segi, seperti di Hangzhou dan Xiamen.”

Chen menambah, persekitaran bersih dan hijau, masyarakat yang toleran dan bilangan penduduk berbahasa Cina juga antara faktor pendorong mereka ke Malaysia.

Satu lagi tarikan ialah hak milik bebas pegangan dan pajakan 99 tahun boleh didapati di Malaysia.

“Di China, hak bagi penggunaan tanah untuk komersial adalah 40 tahun dan kediaman pula 70 tahun sahaja,’’ kata Chen kepada The Star.

Baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, Putrajaya mengalu-alukan pelaburan terus asing dari China, tetapi bukan rakyat China membeli tanah dan `menguasai bandar-bandar di Malaysia’.

“Mereka akan membeli tanah kita dan kita akan keluar dari bandar dan tinggal di pinggiran hutan - jika tidak di dalam hutan terus. Inilah gambaran masa hadapan yang saya bimbangkan.’’ kata Dr. Mahathir.

“Apa yang kami mahukan adalah pelaburan asing — untuk mereka mendirikan kilang dan pekerjanya adalah rakyat Malaysia dan bukan orang asing.

“Bukan untuk mereka memiliki tanah yang luas dan membina bandar mewah yang kita sendiri tidak mampu tinggal di dalamnya,’’ kata Perdana Menteri.

Terdapat juga laporan bahawa rakyat tempatan di Johor yang mengadu mengenai rakyat China membeli hartanah di Forest City, mengundang kebimbangan terhadap kerosakan alam sekitar, kemelut di dalam pasaran hartanah dan impak tambakan tanah terhadap sektor perikanan.

Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin baru-baru ini berkata, kerajaan akan mengemukakan garis panduan lebih terperinci mengenai pembelian hartanah oleh orang asing di projek Forest City bagi membantu pelabur mengelak daripada membuat keputusan berisiko.

Artikel asal ini disiarkan di dalam EdgeProp.my