Beliau berkata, syarikat pe­nerbangan nasional diperlukan bagi sesebuah negara kerana ia penting kepada keterhubungan sebagai keper­luan asas untuk menghubungkan orang, industri dan juga negara.

“Bagaimanapun, untuk mempunyai sebuah syarikat penerbangan yang kukuh, ini yang Malaysia tidak ada.

“Setiap negara mempunyai konsep berbeza berkaitan syarikat penerbangan nasional, tetapi apa yang lebih penting ialah mempunyai industri penerba­ngan yang teguh dan maju serta memberi pilihan mencukupi kepada orang ramai dari segi rangkaian, tahap perkhidmatan dan kos yang berpatutan,” katanya ketika ditanya mengenai sejauh mana kepentingan sebuah syarikat penerbangan nasional.

Sebelum ini, laporan media memetik beberapa cadangan daripada penganalisis supaya menutup operasi atau menjual syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines kepada pihak berminat atau mengubah strategi perniagaannya.

Ini susulan daripada laporan kewangan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mengalami kerugian sehingga RM6.27 bilion dengan sebahagian besarnya disebabkan rosot nilai yang dihadapi syarikat pe­nerbangan tersebut.

Sejak dinyahsenarai dari Bursa Malaysia mulai 2015 hingga 2017, Malaysia Airlines merekodkan kerugian seba­nyak RM2.3 bilion disebabkan kelemahan ringgit dan kos bahan api yang tinggi.

Jelas Conrad, Malaysia Airlines mempunyai sejarah yang penting kepada negara dan memiliki bakat-bakat baharu yang hebat.

“Selain itu, mereka juga mempunyai peralatan dan tahap perkhidmatan yang baik. Tetapi, jika itu (menutup atau jual) dibuat, maka ia terpulang kepada budi bicara kerajaan. Kami cuma berharap Malaysia Airlines dapat melakukan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines, Izham Ismail menyua­rakan pendapatnya bahawa menutup syarikat penerbangan itu bukan satu langkah yang bijak. Malah, ia bukan sahaja melibatkan kos yang tinggi tetapi turut memberi kesan kepada rantai­an perniagaan dalam industri pener­bangan.

Tegas Izham, nilai Malaysia Airlines adalah melebihi daripada sekadar nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), maka untuk menutupnya adalah di luar jangkaan Pejabat Perdana Menteri.

Selain Malaysia Airlines, syarikat penerbangan Jepun, Japan Airlines Co Ltd (JAL) turut berdepan masalah kewangan yang teruk sehingga diisytihar bankrap pada 2010 dengan hutang berjumlah 2.32 trilion yen (RM88.47 bilion).

Bagaimanapun, JAL kembali pulih sekitar 2011 dan 2012 dan muncul syarikat penerbangan paling untung di dunia dengan merekodkan keuntungan 186.6 bilion yen (RM7.17 bilion).

Ini memberi keyakinan kepada Presiden JAL, Yuji Akasaka untuk memperkukuhkan kerjasama dengan Malaysia Airlines setelah menandatangani memorandum persefahaman pada 27 Mei lalu dan optimis ia mampu berdepan tempoh sukar itu se­perti dialami JAL.

Secara keseluruhan, me­nurut IATA, persekitaran industri pe­nerbangan tahun ini akan terus berdepan tekanan daripada pe­ningkatan harga bahan api dan ketegangan perdagangan global.

Ini menyebabkan IATA me­nurunkan unjuran keuntungan kepada AS$28 (RM117.33) bilion tahun ini berbanding unjuran awal AS$35.5 (RM148.76) bilion yang dibuat pada Disember 2018.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Elsekutif IATA, Alexandre de Juniac berkata, persai­ngan sengit juga menyukarkan syarikat penerbangan menikmati hasil yang lebih tinggi dan dalam masa sama, kelemahan perdagangan global juga berte­rusan memandangkan perang dagangan antara AS-China semakin meruncing.