logo
 

Ini agak pelik bagi rakyat Malaysia yang biasa mendengar cerita tentang kerugian yang dialami Proton Holdings Berhad, tetapi bagi para pembida ini, Proton merupakan syarikat pengeluar kereta yang amat berharga dalam konteks glo­bal, demikian menurut penganalisis.

Dua pembida antarabangsa Proton, Zhejiang Geely Holdings Group dari China dan PSA Group dari Pe­rancis melihatnya dari sudut lain dan menganggap ia sebagai strategi yang sesuai dalam rancangan global yang lebih besar untuk dominasi industri automotif yang sedang dimainkan di seluruh global oleh pemain automotif utama.

Proton juga penting kepada mereka dalam merealisasi strategi yang telah Proton labuhkan dalam jejak automotif pelbagai benua di Asia, kata penganalisis tersebut yang biasa dengan suasana berkenaan.

Dan sebab untuk ini adalah mudah. Buat permulaan, Proton sehingga kini kekal sebagai satu-satunya pembuat kereta ASEAN yang melakukan kajian dan pembangunan, rekacipta, pengeluaran, pengedaran dan penjualan kereta.

Tiada negara lain dalam kala­ngan 10 negara anggota ASEAN yang mempunyai pengeluar penuh kereta buatan sendiri.

Ini menjadikan Proton itu sendiri unik kerana ASEAN sedang muncul sebagai pasaran yang kuat dengan mempunyai 600 juta orang penduduk serta pendapatan yang semakin meningkat untuk menarik mereka ke bilik-bilik pameran bagi membeli kereta pertama mereka.

Proton adalah strategik dalam pelbagai cara, pertama merupakan satu-satunya pengeluar kereta di ASEAN dan kedua, operasinya boleh segera diserapkan kepada pemain global yang lebih besar se­perti Geely dan PSA, sementara yang ketiga, ia terletak di tengah-tengah Asia selaku wilayah ekonomi dunia yang sedang pesat membangun.

Kilang pemasangan Proton di Shah Alam dan Tanjung Malim mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 400,000 kereta setahun.

Pemain automotif asing yang besar menyedari Proton merupakan ekosistem dan infrastruktur automotif sedia wujud. Ia hanya perlu ‘dicucuk dan dimainkan’ bagi mana-mana pemain automotif yang mahu berkembang ke wilayah ASEAN.

Ya, pernah dibahaskan bahawa sama ada Geely atau PSA boleh de­ngan mudah memulakan ‘operasi greenfield’ yang baharu, contoh­nya di Indonesia yang mempunyai tenaga kerja yang banyak, tanah dan populasi domestik seramai 250 juta.

Para penganalisis berhujah bahawa perkiraan dalam melakukan operasi pengeluaran kereta greenfield boleh mencecah AS$2 bilion (RM8.8 bilion) dan mengambil masa antara tiga hingga lima tahun untuk siap.

Keseluruhan ribuan tenaga kerja juga perlu dilatih dari peringkat awal dan membangunkan ekosistem vendor yang belum wujud, dengan senarai yang perlu dilakukan adalah berpanjangan.

Pilihan greenfield ini sebenar­nya dicetuskan oleh PSA sebagai pilihan pertamanya untuk mewujudkan jejak langkah pengeluaran di Asia, sehingga Proton datang untuk mencari rakan strategik asing.

Ia merupakan titik mula apabila PSA mengambil keputusan untuk memfokus kepada Proton, pengeluar kereta yang mempunyai 30 tahun pengalaman yang ekosistem vendornya memanjang daripada A hingga Z dalam pengeluaran kereta.

Laluan Proton lebih disukai oleh PSA yang menyifatkan tindakan itu sebagai cara lebih jelas ‘untuk mengelak kesilapan orang baharu’ apabila memasuki ASEAN.

PSA patut mengetahuinya. Lagipun dengan pembeliannya ke atas Vauxhall di United Kingdom dan Opel di Jerman daripada General Motors bulan ini, ia telah menjadi pengeluar kereta kedua terbesar Eropah.

Namun pertumbuhan di Eropah adalah antara perlahan dan lembab, sementara Asia adalah pantas dan cergas dan di Asia yang PSA kekurangan kemudahan pengeluaran automotif sepenuhnya. – BERNAMA