Dalam dunia saham, terdapat istilah Chinese New Year Rally tetapi tidak Hari Raya Rally. Sekiranya terdapat kenaikan semasa bulan puasa, ia sekadar satu kenaikan yang disokong oleh pembelian daripada institusi dan dana tempatan atau pelabur asing.

Ini kerana, terdapatnya berita-berita positif yang menarik minat kemasukan dana yang besar di dalam pasaran saham ataupun pasaran mengalami pantulan teknikal semata-mata lebih-lebih lagi jika sebelum itu pasaran te­lah mengalami kejatuhan.

Jika kita perhatikan, setiap hari terdapat banyak kaunter naik dan tidak pernah pun kita lihat semua kaunter di papan Bursa Malaysia jatuh walaupun semasa peristiwa Brexit tidak lama dulu, masih terdapat sembilan kaunter yang mencatatkan kenaikan harga sahamnya.

Ini bermakna, pelaburan saham negara kita agak baik selepas krisis kewangan Asia tahun 1997 dulu. Juga, ini membuktikan bahawa ekonomi negara tidaklah teruk seperti anggapan sesetengah orang.

Ini kerana banyak syarikat tersenarai telah mencatatkan keuntungan dalam penyata kewangan mereka berbanding dua tiga tahun kebelakangan. Tidak hairanlah sekiranya banyak harga saham syarikat tersenarai naik pada tahun ini sehingga ada yang mencecah dua kali ganda berbanding tahun lepas.

Oleh kerana iklim pasaran berada di dalam keadaan positif pada tahun ini, maka setiap orang tidak boleh melepaskan peluang untuk menjana keuntungan di dalam pasaran saham lebih-lebih lagi yang tidak tahu apakah cara terbaik untuk me­ningkatkan pendapatan diri atau isi rumah.

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu tahu dan sentiasa mencari peluang bagi meningkatkan pendapatan diri dan keluarga untuk hidup dengan selesa dan sejahtera. Antara peluang itu ialah pelaburan saham yang bukan sahaja tidak memerlukan modal yang besar atau komitmen bulanan malah ia sangat mudah dilakukan.

Mudah dalam erti kata, kita sendiri mengawal dan memantau pelaburan yang boleh dibuat pada bila-bila masa dan tempat memandangkan kini semua transaksi boleh dilakukan secara dalam talian sekiranya kita tidak mahu menggunakan khidmat ejen.

Keuntungan itu juga boleh kita tetapkan berapa peratus yang kita inginkan ataupun sekiranya kita agak takut atau tidak yakin bahawa sesuatu saham yang dibeli itu mempunyai potensi naik lagi, maka pendekatan terbaik ialah menjual asalkan meraih untung atau menjual bila harga saham telah naik.

Kenaikan harga itu sama ada terjadi sejurus selepas kita membeli saham, naik pada keesokan harinya atau pada bila-bila masa pun kerana kita yang boleh tetapkan harga yang diinginkan.

Kenaikan boleh jadi juga dalam peratus kenaikan, peratus dalam pulangan pelaburan ataupun di dalam sen. Sebagai contoh, kita akan menjual saham yang dibeli bila harga naik sebanyak 2 sen, 5 sen ataupun 10 sen.

Ini bermakna, 2 sen itu ialah RM20 bagi setiap 1,000 unit saham. Sekiranya kita membeli saham yang murah, contohnya yang berharga 20 sen dan ia menjadi 22 sen, kenaikan 2 sen itu ialah RM20 didarab dengan 10,000 unit saham, maka ia memberikan pulangan pelaburan sebanyak RM200 untung kasar atau pulangan pelaburan kasar sebanyak 10 peratus.

Tidak dinafikan ramai pedagang saham melakukan urus niaga singkat atau harian (day-trade) kerana ingin membuat keuntungan yang cepat. Ada yang setiap hari membuat urus niaga saham dan mengambil pendekatan jual asal untung sama ada keuntungan tersebut ialah dua peratus, empat peratus ataupun lebih daripada itu terpulang kepada matlamat masing-masing.

Untuk makluman pembaca, sebagai seorang yang telah lama di dalam pasaran saham, saya dapati bahawa seseorang pelabur atau pedagang saham yang berdisiplin dan mempunyai tahap pengetahuan yang baik dalam pasaran saham boleh menjana keuntungan sebanyak empat hingga lima peratus dalam satu bulan sekiranya keadaan iklim pasaran berke­adaan ‘biasa-biasa’ atau jumlah dagangan pada waktu itu berada kurang daripada dua bilion setiap hari.

Sekiranya pasaran saham di dalam keadaan yang baik dengan jumlah dagangan mence­cah melebihi dua bilion, pedagang dan pelabur saham boleh memperoleh keuntungan di dalam lingkungan lapan hingga 10 peratus atau lebih.

Ini tidak mustahil kerana te­lah terjadi satu saham syarikat tersenarai mengalami ‘limit-up’ atau naik 30 peratus dalam satu hari dagangan Bursa Malaysia.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan dan selamat berpuasa.