Pendirian Hollande itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blog beliau selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Perancis itu yang melakukan lawatan rasmi sehari ke Malaysia pada 28 Mac lalu.

Malaysia sebelum ini membantah keras rancangan Peran­cis itu kerana cadangan ber­kenaan bukan sahaja tidak adil terhadap produk berasaskan kelapa sawit berbanding minyak sayuran lain malah, boleh menjejaskan industri sawit di negara-negara terlibat.

Walaupun import sawit ke Perancis kecil, namun sebagaimana dinyatakan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum ini, tindakan negara tersebut dikhuatiri boleh mempengaruhi negara Kesatuan Eropah (EU) lain untuk mengambil tindakan serupa. Eksport produk sawit Malaysia ke Eropah dianggarkan mencecah RM6.4 bilion pada tahun lalu.

Sehubungan itu, adalah menjadi harapan kita, agar Hollande dapat merealisasikan pendiriannya itu dengan mengambil kira kepentingan industri kepada Malaysia. Sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri kepada Hollande, industri sawit penting buat Malaysia di mana lebih 600,000 orang bergantung kepadanya sebagai sumber pendapatan.

Justeru, sebarang propaganda dan kempen memburuk-burukkan minyak sawit akan memberi kesan kepada kumpulan berkenaan dan ekonomi negara secara amnya.

Mengikut rekod kementerian, sehingga tahun lalu sebanyak 32 peratus pengeluaran minyak sawit mentah dunia adalah dari Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar selepas Indonesia. Industri sawit negara dilaporkan menyumbang sebanyak 30 peratus kepada hasil pengeluaran minyak dan lemak makanan dunia. Kejayaan ini pastinya dicemburui oleh banyak pihak.

Peristiwa kedua ialah kejayaan Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) meme­terai memorandum persefahaman dengan syarikat India, Trimex Industries Private Limited. Kerjasama itu bagi mene­roka kemungkinan membekal dan mengedarkan pelbagai produk minyak sawit di negara berpenduduk kedua tertinggi di dunia itu.

Difahamkan, India merupakan pasaran eksport terbesar minyak sawit mentah (MSM) dengan jumlah 600,000 tan metrik setahun. Negara itu menyumbang kira-kira 10 hingga 12 peratus penggunaan minyak sawit global. Dan kerjasama FGV dengan Trimex pastinya menjanjikan sesuatu kepada pertumbuhan FGV.

Adalah menjadi harapan kita khususnya pihak berkepenti­ngan agar dua peristiwa besar ini berterusan pada masa depan ketika harga komoditi itu dilaporkan masih turun naik di pasaran global.

Sementara itu, dalam menangani pelbagai propaganda dan kempen memburuk-burukkan minyak sawit pada masa depan, Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit yang ditubuhkan boleh memainkan peranan lebih proaktif bagi melindungi kepenti­ngan komoditi ini di peringkat global.