Anda perlu menaip apa yang ingin dicari di kotak pencari­an yang disediakan. Ya betul, selain menaip anda juga boleh menggunakan gambar atau menggunakan suara tetapi lazimnya ramai orang akan menaip untuk mencari sesuatu. Dan biasanya mereka akan menggunakan peranti pintar masing-masing.

Setelah Google menyenaraikan hasil pencarian yang diperoleh, anda akan perasan yang Google juga menggunakan tulisan. Perkataan demi perkataan yang membentuk ayat yang sama dengan apa yang anda tulis di kotak pencarian tadi.

Di sini jelas, untuk jenama anda berada pada satu daripada senarai benda yang dicari, anda perlu menulis dan penulisan anda perlu berada di laman web.

Bagi yang tidak tahu ba­gaimana anda boleh ditemukan oleh orang yang tidak dikenali di Google, ini kisahnya. Sebaik sahaja anda mempunyai sebuah laman web yang baharu di internet, enjin pencari­an seperti Google akan dapat menghidu kewujudan laman web anda.

Begitu juga setelah anda mengemas kini laman web anda sendiri dengan maklumat terkini, mereka akan menghidu sesuatu yang baharu tadi. Atau sekiranya anda menulis sesuatu yang baharu pada laman web yang bukan milik anda juga, mereka akan menghidunya.

Dengan pantas, mereka akan menghantar algoritma mereka untuk segera berkunjung ke laman web tadi dan mengindeks setiap perkataan dan ayat yang ada di sana.

Sesiapa sahaja yang mencari produk, perkhidmatan atau rujukan tertentu di Google, yang set perkataan yang ditaip di ruangan Search itu sepadan de­ngan apa yang terdapat di laman web anda, yang anda kemas kini atau yang anda tulis tadi walaupun bukan pada laman web sendiri, dengan sendirinya anda akan dijumpai. Pautan rujukan itu akan tersenarai di Google pada muka surat pertama, ke­dua atau seterusnya.

Atas sebab ini juga saya sering menasihati anda agar sentiasa mengemas kini laman web anda dengan maklumat-maklumat terkini secara berterusan. Tanpa sebarang maklumat terbaharu, atau sekiranya tidak dikemas kini, algoritma enjin pencarian tidak akan mengunjungi anda. Apabila anda tidak dikunjungi, dengan sendirinya anda tidak akan disenaraikan dalam ran­king di Google. Dan apabila anda tidak disenaraikan dalam ranking, anda tidak akan dijumpai oleh orang lain.

Hanya di menu Blog sahaja tempat yang mana anda akan boleh memperbaharui kan­dungan yang ada di laman web. Anda tidak boleh selalu mengemas kini maklumat pada menu Mengenai Kami, Produk dan Perkhidmatan Kami ataupun Hubungi Kami kerana di sini semua maklumat adalah berbentuk tetap.

Tetapi di laman Blog, anda boleh menulis tentang pendapat atau sesuatu yang berkaitan dengan industri anda, bagaimana untuk mela­kukan sesuatu yang berkaitan dengan industri anda, petua-petua tertentu, pengalaman tertentu, kongsi kejayaan-kejayaan pelanggan anda setelah menggunakan produk anda atau apa sahaja yang boleh para pembaca kaitkan cerita anda dengan produk yang dijual. Ia boleh dikemas kini setiap hari atau setiap minggu.

Bagaimana harus anda memulakan penulisan anda?

Mulakan dengan tajuk dahulu. Penggunaan tajuk amat penting bagi mendapatkan ranking yang tinggi. Anda perlu meramal terlebih dahulu senarai soalan yang bakal mereka tulis pada kotak pencarian Google yang anda mahu mereka menjumpai anda.

Setiap soalan yang diramal itu, perlu ditulis ke dalam kotak pencarian Google dan kemudiannya lihat apa hasil yang tertera di senarai ran­king yang ada. Senarai yang anda lihat itu adalah tajuk-tajuk penulisan yang mempunyai ranking yang tinggi, jadi tajuk yang sebegini harus menjadi tajuk anda juga. Ia perlu terperinci, pendek, menarik dan padat dengan kata-kata kunci tertentu yang merujuk kepada produk atau industri anda.

Dari sini anda harus membina authority jenama anda. Authority bermaksud jenama anda sering menjadi rujukan dalam industri. Setiap jenama yang sentiasa menjadi rujukan dalam industri tersendiri, mereka akan memastikan ran­king jenama tersebut akan berada di atas berbanding jenama-jenama biasa.

Bagaimana untuk memperoleh authority yang baik?

Hanya melalui dua kaedah iaitu pertama, mempunyai kata-kata kunci yang sering digunakan oleh industri anda pada setiap penulisan.

Dan kedua, laman web anda sering menjadi rujukan laman-laman web lain yang mana mereka menyediakan backlink atau pautan kembali ke laman web anda pada penulisan-penulisan mereka.

Lakukan ini semua dan lihat kedudukan ranking anda selepas 2 hingga 3 bulan, tanpa mengeluarkan sesen pun.