Membeli saham ini tidak terbatas kepada membeli saham di pasaran terbuka sahaja tetapi juga melalui pelbagai cara iaitu saham terbitan permulaan (IPO), tawaran persendirian, permohonan melalui book building dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Kenapa masih ramai orang takut atau kurang yakin untuk memasuki pasaran walaupun mereka telah mempunyai akaun CDS dan telah mendapatkan ilmu tentang pendidikan saham?.

Tidak dinafikan sebilangan orang mempunyai pengetahuan tentang pelaburan saham merupakan orang-orang yang telah mengalami kerugian daripada skim-skim ponzi. Contohnya skim cepat kaya atau skim emas sontot termasuk juga yang telah mengalami kerugian di dalam perdagangan seperti Forex.

Justeru, mereka mencari alternatif lain kononnya untuk menutup kerugian lampau dan ingin menjadikan urus niaga saham ini sebagai satu kaedah untuk menggantikan aktiviti yang telah mengakibatkan kerugian dahulu.

Maka, apabila kelas dan seminar saham muncul dengan banyak, orang-orang ini akan pergi menghadiri kelas-kelas dan seminar tersebut. Terdapat juga sebilangan yang pergi hampir ke semua kelas dan seminar yang sedia ada walaupun terpaksa membayar sejumlah wang yang bukan sedikit.

Dalam satu perbualan di antara Cikgu Saham dengan pengikut di dalam media sosial Facebook, antaranya ialah seorang pelabur memberitahu dia telah melibatkan diri di dalam pasaran saham selama lima bulan. Dia memberitahu tentang sejarah hitam mengalami kerugian di dalam skim sontot yang mana jumlah kerugian tersebut mencecah angka ribuan ringgit.

Kebanyakan orang yang mempunyai sejarah kerugian dengan skim-skim cepat kaya ini mengharapkan pulangan tetap setiap bulan. Walhal mereka tidak tahu bahawa pelaburan saham juga mampu memberi pulangan yang memuaskan jika melabur atau berurus niaga saham secara bijak dan berhemah.

Pengikut Cikgu Saham itu walau bagaimanapun, telah bertukar arah dari menyertai skim cepat kaya kepada berurus niaga saham yang kemudiannya mendapat pengawasan dan bimbingan Cikgu Saham sejak bulan November 2017. Sebelum itu dia telah meminta bantuan untuk mendapat bimbingan dan khidmat nasihat pelaburan daripada Cikgu Saham kerana tidak mempunyai ilmu pelaburan serta alasan faktor umur.

Dan dari tempoh November sehingga kini, dia memperoleh purata pulangan ke atas pelaburan (ROI) sebanyak lapan peratus setiap bulan.

Dia sangat berpuas hati dengan pencapaian ini dan modal pelaburan telah ditambah menjadi RM50,000 berbanding sebelum itu hanya sebanyak RM27,000.

Maka, tepatlah tindakannya untuk menambah modal pelaburan setelah yakin dapat menjana keuntungan setiap bulan. Tindakan bermula dengan modal yang kecil dahulu telah banyak dinyatakan di dalam ruangan yang lepas di kolum ini.

Apabila seseorang pelabur atau pedagang saham telah berjaya memperoleh pulangan ke atas pelaburan dengan konsisten, maka keuntungan tersebut bolehlah diketepikan agar pelabur dan pedagang saham hanya melabur atau berurus niaga saham dengan jumlah yang sama.

Ini ialah untuk mengelakkan seseorang itu melabur atau berurus niaga saham semakin besar kerana sekiranya pelaburan semakin besar, risiko yang bakal dihadapi juga semakin tinggi. Banyak sudah cerita tentang pelabur dan pedagang saham yang mencampurkan wang keuntungan tersebut ke dalam modal pelaburan mereka tanpa mengeluarkannya.

Akhirnya apabila emosi menguasai akal, maka ramai yang kerugian lebih-lebih lagi apabila pasaran jatuh tanpa diduga. Terdapat juga yang tidak sempat merasai hasil pelaburan yang dibuat kerana apabila pasaran jatuh, ada yang mengambil tindakan untuk jual dahulu atau cut loss.

Tindakan ini selalu merugikan pelabur dan juga ada yang cut loss untuk mengurangkan kerugian disebabkan harga saham terus menerus turun. Mereka takut harga saham jatuh lagi yang membuatkan mereka mengambil tindakan untuk jual.

Sebagai rumusan, kurang keyakinan pelabur dan pedagang saham disebabkan perkara-perkara berikut:

* Tidak mempunyai ilmu yang betul.

* Tidak berani memasuki pasaran.

* Tidak mempunyai penasihat dan pembimbing yang baik.

* Tidak yakin atau was-was dengan apa yang dipelajari.

* Mempunyai modal yang terlalu kecil.

* Tidak mempunyai simpanan atau tabungan yang mencukupi.

* Terlalu banyak berfikir untuk membuat keputusan.

Kita sambung topik ini di ming­gu hadapan.