Keadaan ini sebenarnya boleh menyebabkan berlakunya inflasi. Apabila ini terjadi ramai yang mempertikaikan kenapa harga naik seolah-olah tiada pengawalan daripada pihak kerajaan serta menu­ding jari menyalahkan pihak lain yang cuba mengambil kesempatan terhadap situasi yang berlaku.

Inflasi bermaksud kenaikan harga umum barangan atau perkhidmatan secara berterusan.

Hal ini juga menyebabkan kuasa beli pengguna semakin menyusut dengan pendapatan sedia ada sedangkan harga barangan semakin meningkat sekali gus membebankan rak­yat.

Sebagai pengguna kita mempunyai pilihan untuk membuat keputusan. Kuasa beli seseorang pengguna itu ditentukan berdasarkan berapa banyak wang yang ada untuk berbe­lanja.

Gigih mana pun kita mengelak untuk membuat pembelian yang tidak perlu, namun ada ketikanya terpaksa membuat pembelian disebabkan faktor-faktor persekitaran seperti pertambahan isi rumah, penawaran dan permintaan, gaya hidup serta pendapatan.

Sebagai contoh, jika berkunjung ke pusat beli-belah pada setiap hujung minggu untuk bersiar-siar akhirnya pasti akan membeli sesuatu walaupun tiada dalam perancangan. Itu belum lagi singgah di mana-mana restoran makanan segera atau kafe antarabangsa yang sudah pasti harga makanan dan minumannya lebih tinggi berban­ding dengan kedai biasa.

Berbalik kepada diri sendiri adakah berkunjung ke pusat beli-belah setiap hujung minggu dan makan di restoran yang mengenakan pelbagai caj terhadap pelanggan merupakan keperluan? Tepuk dada tanya selera.

Hal ini disebabkan oleh gaya hidup individu itu sendiri. Mengapa masih merungut harga barang mahal sedangkan ada pilihan yang lebih murah.

Di samping itu, jika permintaan sesuatu produk itu melebihi penawaran di pasaran, harga cenderung untuk meningkat. Keadaan ini dise­babkan kesanggupan pembeli untuk membayar harga yang tinggi bagi mendapatkan barang tersebut.

Selain itu, ia juga dipe­ngaruhi oleh jumlah pendapatan isi rumah. Jika pendapatan meningkat maka perbelanjaan turut bertambah dan mungkin tidak terasa terbeban walaupun berlaku peningkatan harga.

Kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 April 2015 pada kadar enam peratus.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengutip GST berjumlah RM41.2 bilion pada 2016 dan menyasarkan RM42 bilion pada 2017. Peningkatan kutipan GST ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia tetap berbelanja walaupun harga barang semakin mahal.

Sedar atau tidak, naik atau turun harga barang, pembelian tetap dibuat. Apa yang pen­ting adalah bagaimana kita mena­ngani kenaikan itu supaya ke­sannya tidak memudaratkan kewangan sendiri. Peranca­ngan yang teliti dan menilai keperluan berbanding kemahuan perlu dilakukan setiap kali ingin berbelanja.

Walaupun sukar, rakyat perlu memainkan peranan dalam memastikan kadar inflasi di negara ini kekal rendah bagi menjamin kesejahteraan ekonomi dan negara. Setakat Januari lalu, kadar inflasi Malaysia adalah 2.7 peratus.