Artikel lengkap tentang pasaran ekuiti dan derivatif ini merupakan usaha dan inisiatif yang dicadangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan yang ingin satu siri keterangan lengkap yang bukan sahaja boleh dibaca oleh rakyat Malaysia tetapi juga sesiapa sahaja yang ingin mengetahui tentang pasaran ekuiti dan derivatif yang merupakan satu pelaburan sah di Malaysia.

Tidak dinafikan artikel atau bacaan tentang pasaran ekuiti serta derivatif amat kurang di­tulis atau dibicarakan sehingga ramai rakyat Malaysia sendiri tidak tahu apakah itu pasaran ekuiti dan derivatif?

Mereka tidak mengetahui bahawa barang-barang yang digunakan seharian atau perkhidmatan yang diperolehi itu merupakan produk atau perkhidmatan daripada syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Orang ramai tidak menyedari bahawa perkhidmatan perbankan seperti Maybank, CIMB dan RHB merupakan syarikat-syarikat tersenarai di Bursa Malaysia. Pengguna telefon mudah alih seperti Maxis, Telekom dan DiGi juga tidak menyedari bahawa mereka merupakan pelanggan syarikat telekomunikasi yang juga tersenarai di Bursa Malaysia.

Malah, ada produk-produk yang kita gunakan seharian seperti milo, nescafe dan mi segera Maggi datangnya daripada syarikat Nestle yang disenaraikan di papan Bursa Malaysia. Maka, selain daripada membeli produk atau perkhidmatan syarikat-syarikat tersenarai ini, kita juga boleh membeli saham-saham syarikat tersenarai ini secara terus dengan me­lakukan urus niaga secara di dalam talian atau de­ngan meng­hubungi wakil peniaga berdaftar di syarikat broker saham serta bank pelaburan di seluruh Malaysia.

Dengan adanya keterangan yang berstruktur ini, diharap­kan masyarakat kita tidak lagi terlibat dengan skim-skim pe­nipuan dan skim ponzi serta pelaburan yang tidak sah daripada segi undang-undang negara.

Pembaca juga tidak perlu merasa was-was. Anda juga diberi pilihan kerana di dalam kolum ini nanti, penulisan di ruangan ini juga akan merangkumi pasaran modal Islam. Negara kita sememangnya mengalu-alukan kemasukan pelaburan asing secara besar-besaran sama ada di dalam pasaran ekuiti mahupun derivatif.

Semoga pertemuan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini juga akan memberi tempias kepada industri pasaran ekuiti negara.

Selain itu, dengan adanya keterangan tentang industri pasaran ekuiti dan derivatif, semoga para pelabur dan pedagang baharu dapat membuat persiapan atau perancangan yang lebih kemas dan bijak sebelum melangkah ke dunia pelaburan. Ini kerana, sesuatu pelaburan itu kadangkala tidak semudah yang kita sangkakan. Banyak perkara dan maklumat perlu kita baca, membuat kajian dan pembelajaran sendiri.

Pembelajaran, pembacaan, pemerhatian serta kajian itu kadangkala perlu dibuat agak ke­rap atau berterusan. Sekira­nya kita menjadikan satu amalan yang berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti ianya menjadi suatu perkara yang sangat mudah.

Sekiranya terdapat mana-mana keterangan yang masih tidak jelas atau kurang lengkap, pembaca digalakkan berhubung terus dengan pihak broker saham atau bank pelaburan, wakil peniaga berdaftar atau pun pegawai yang dikhaskan di Bursa Malaysia. Senarai syarikat broker saham serta bank-bank pelaburan di seluruh Malaysia ada dinyatakan di laman web Bursa Malaysia.

Buku-buku atau penulisan tentang industri pasaran saham dan derivatif tidak dinafikan sangat kurang diperolehi atau agak terhad.

Sekiranya ada, ianya tidak diterangkan secara terperinci atau menyeluruh. Maka, saya serta pihak Bursa Malaysia berharap agar semua penerangan yang dibentangkan di ruangan ini nanti akan menjadi rujukan orang ramai serta pelajar-pelajar universiti dan boleh menjadikan sumber serta maklumat yang sahih lagi lengkap tentang instrumen kewangan negara kita.

Sekali lagi diucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Bursa Malaysia yang memberikan sumbangan dan kerjasama di dalam kolum ini. Selamat membaca dan pastikan anda ikuti setiap hari Rabu kolum bersama Cikgu Saham.

PEMBACA yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh hubungi Zuraida Mohd Zakaria melalui emel [email protected]