Jumlah dagangan Bursa Malaysia secara tiba-tiba telah mencapai melebihi 5 bilion pada minggu pertama bulan Januari 2018. Jumlah dagang­an yang tertinggi tercatat sebanyak 6.9 bilion bersamaan RM4.5 bilion pada minggu ke­dua Januari 2018.

Keadaan ini telah mengejutkan banyak pihak lebih-lebih lagi pelabur dan pedagang runcit kerana indeks pasaran telah jatuh bermula pada September 2017 dengan jumlah dagangan yang tidak pernah mencapai 4 bilion sepanjang tahun 2017.

Dengan kedatangan jumlah dagangan yang sangat besar hampir setiap hari pada Janua­ri ini, terdapat pelabur dan pedagang runcit yang menyepi sekian lama, secara tiba-tiba memasuki pasaran semula.

Terdapat juga sebilangan pelabur yang mengambil ke­sempatan melupuskan pega­ngan saham berikutan harga dalam portfolio pelaburan mereka telah mencatatkan pe­ningkatan. Dalam erti kata lain, mengambil peluang melepaskan pegangan saham ketika mereka memperoleh pulangan ke atas pelaburan yang dibuat.

Pedagang harian dan jangka masa singkat pula di kala ini mengambil peluang memasuki pasaran secara aktif dan ramai yang membuat urus niaga singkat semasa aktiviti dagangan cergas di Bursa Malaysia.

Ramai pedagang dan pelabur saham yang memperoleh pulangan ke atas pelaburan atau perdagangan sehingga mele­bihi seratus peratus daripada modal yang dilaburkan atau didagangkan di pasaran Bursa Malaysia.

Dan pada tarikh 8 Januari 2018, Bursa Malaysia menca­tatkan sejarah pada pembukaan 2018 yang mana jumlah dagangan mencecah 6.9 bilion bersamaan RM4.5 bilion.

Ketika kemeriahan yang dirasai oleh pelabur dan pedagang runcit, tidak dinafikan dalam suasana keghairahan dan kerancakan urusniaga Bursa Malaysia, pasaran saham te­lah mengalami tekanan jualan selepas jumlah dagangan mencapai paras tertinggi tahun ini.

Tekanan jualan yang berte­rusan selama beberapa hari kemudiannya telah menyebabkan indeks pasaran FBM KLCI berserta saham-saham syarikat tersenarai mengalami penurunan.

Kepada pelabur dan pedagang baharu yang kurang berpengalaman lebih-lebih lagi yang berurusniaga saham untuk jangka masa singkat, bia­sanya mereka akan terperangkap membeli saham syarikat tersenarai pada harga tertinggi disebabkan kurang pengalaman atau tidak mengetahui tentang adanya pullback atau penarikan modal asing dan dana tempatan di dalam transaksi urus niaga saham.

Dalam erti kata lain, pengambilan untung yang bersifat sa­ngat pantas secara besar-besaran dilakukan di dalam aktivi­ti ini yang tidak disedari oleh pelabur dan pedagang runcit yang kurang berpengalaman.

Terdapat juga sesetengahnya beranggapan bahawa peningkatan yang terdapat pada indeks pasaran Bursa Malaysia (FBM KLC I) akan berterusan sehingga pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) yang ke-14. Dan pendapat yang lain pula mengatakan bahawa aliran menaik indeks FBM KLCI ini akan berterusan menghampiri pe­rayaan Tahun Baharu Cina.

Andaian atau fahaman mereka dibuat berdasarkan pada jumlah dagangan yang sangat besar yang tercatat hampir setiap hari bermula pada hari pertama Januari 2018. Justeru, mereka beranggapan bahawa fenomena kesan Januari yang disokong oleh faktor-faktor lain yang bersifat positif menolak indeks pasaran dan harga saham di dalam aliran menaik tanpa memikirkan bahawa adanya kejatuhan harga atau retracement di dalam selang ali­ran menaik ini.

Indeks pasaran mengalami penurunan selama tiga hari bermula ketika indeks pasaran mencapai paras tertinggi pada tahun ini iaitu pada paras 1,840 mata dan ditutup pada paras 1,832 mata pada hari yang sama.

Indeks FBM KLCI kemudian menyusut pada paras terendah 1,812 mata dan pada Jumaat lepas, indeks pasaran menokok semula 7.23 mata pada sesi petang menjelang penutup pasaran.

Sebagai rumusan, pemang­kin yang menyebabkan rangsangan atau kerancakan aktiviti pasaran Bursa Malaysia disebabkan oleh faktor-faktor berikut yang juga merupakan sentimen pasaran yang positif:-

  • Kemasukan dana asing.
  • Pengukuhan matawang Rin ggit Malaysia berbanding Dolar Amerika Syarikat.
  • Prestasi cemerlang Khaza­nah Nasional Berhad (Khazanah).
  • Kenaikan harga minyak men­­tah dunia.
  • Kesan Januari atau penyusunan semula portfolio pe­laburan oleh pengurus dana tempatan.
  • Tahun Baharu Cina.
  • Pilihan Raya Umum ke-14.
  • Seiringan dengan pencapai­an paras tertinggi indeks pasaran Amerika Syarikat DJIA dan pasaran serantau.

Kepada yang ingin mempelajari pelaburan saham boleh mendaftar di https://tinyurl.com/investrade2018