Apakah yang dimaksudkan dengan ayat di atas dan tahukah anda apakah peranan indeks pasaran saham Bursa Malaysia?

Kita sering melihat atau membaca perkataan ‘indeks’ di dalam akhbar di ruangan ekonomi atau perniagaan tetapi tidak semua orang betul-betul tahu atau faham apakah yang dimaksudkan dengan indeks pasaran.

Indeks pasaran saham me­rupakan satu angka yang dikira berdasarkan harga beberapa atau sekumpulan sekuriti yang mewakili dan mengukur pres­tasi pasaran atau sektor ter­tentu. Indeks berfungsi sebagai penunjuk ekonomi dan titik rujukan prestasi pelaburan. Ia juga boleh menjadi penanda aras bagi portfolio yang diurus secara aktif ataupun pasif meliputi sesuatu saham.

Indeks pasaran saham boleh dikelaskan dalam pelbagai cara. Dengan adanya indeks pasaran ini, ia mewujudkan produk-produk pelaburan berkaitan indeks yang mampu merangsang pertumbuhan pasaran modal di Malaysia.

Dengan perkembangan yang semakin pesat dalam pasaran kewangan, lebih banyak fungsi teknikal telah dibawa ke hadapan. Ini termasuk penggunaan indeks sebagai penanda aras bagi perbandingan portfolio pelabur dan sebagai komponen asas bagi produk kewangan, contohnya Dana Dagangan Bursa (ETF) dan Derivatif.

Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) pula dikenali sebagai FTSE Bursa Malaysia KLCI bermula dari 6 Julai 2009. Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM-KLCI) yang menjejaki prestasi 30 buah syarikat tersenarai awam terbesar di papan utama mengikut kedudukan, adalah indeks penanda utama di Bursa Malaysia.

Indeks FBM-KLCI dianggap proksi kepada prestasi pasaran modal Malaysia. Apabila nilai indeks FBM-KLCI meningkat, ia menunjukkan pres­tasi ekonomi yang baik di mana sentimen dan keyakinan pelabur terhadap pasaran mo­dal Malaysia adalah tinggi.

Indeks FBM-KLCI adalah indeks permodalan pasaran di mana harga pasaran didarab dengan jumlah saham berbaki bagi setiap syarikat yang terkandung di dalam indeks tersebut. Apabila nilai indeks FBM-KLCI bertambah, ia menunjukkan bahawa harga saham syarikat-syarikat yang tersenarai di dalam indeks semakin meningkat. Begitu juga sebaliknya, sekiranya nilai indeks berkurangan atau mengalami penyusutan, ini menandakan bahawa harga-harga di dalam indeks tersebut menurun.

Di bursa global juga terdapat indeks pasaran seperti Dow Jones Industrial Average dan S&P 500 (Amerika Syarikat), FTSE 100 (Britain), CAC 40 (Perancis), DAX (Jerman), Nikkei (Jepun) dan indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI bagi pasaran saham Malaysia.

Terdapat juga indeks-indeks lain yang mewakili prestasi bahagian yang berlainan di dalam pasaran modal seperti berikut:

FTSE Bursa Malaysia Mid 70 Index

Indeks ini mengukur prestasi 70 buah syarikat tersena­rai awam berikutan daripada syarikat-syarikat yang terkan­dung di dalam indeks FBM-KLCI. Ia juga merupakan perwakilan bagi syarikat tersenarai awam bersaiz sederhana di Malaysia.

FTSE Bursa Malaysia Small Cap Index

Indeks ini mewakili prestasi syarikat-syarikat tersenarai awam bersaiz kecil di Malaysia.

FTSE Bursa Malaysia Emas Index

Indeks ini menggabungkan indeks-indeks FBM-KLCI, FBM Mid 70 dan FBM Small Cap untuk memberi satu gambaran menyeluruh berhubung pres­tasi syarikat tersenarai awam daripada saiz yang berbeza di dalam pasaran modal Malaysia.

FTSE Bursa Malaysia Emas Shariah Index

Indeks ini merupakan indeks patuh syariah yang terdiri daripada syarikat-syarikat tersenarai awam dalam indeks FBM-EMAS yang mengikut kaedah penyaringan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (MPS).

FTSE4Good Bursa Malaysia Index (F4GBM)

Indeks ini mewakili prestasi syarikat-syarikat yang meme­nuhi pelbagai kriteria kemampanan daripada perspektif alam sekitar, sosial dan tadbir urus.

Selain daripada menjejaki prestasi pasaran modal daripada segmen yang berlainan, indeks pasaran saham juga boleh digunakan untuk mengukur prestasi sektor perniagaan. Indeks sektor perniagaan di Bursa Malaysia adalah:

  • Kewangan
  • Perdagangan/perkhidmatan
  • Hartanah
  • Produk Pengguna
  • Pembinaan
  • Produk Industri
  • Perlombongan
  • Teknologi
  • Perladangan

Indeks-indeks ini menjejaki dan mengukur prestasi syarikat-syarikat yang terkandung di bawah aktiviti perniagaan yang serupa. Kita sambung topik tentang indeks pasaran Bursa Malaysia di minggu hadapan.

Untuk maklumat dan keterangan lanjut, sila layari www.bursamarketplace.com. Pembaca yang ingin mendapatkan pembelajaran saham boleh hubungi Cikgu Saham Zuraida melalui e-mel [email protected]