Ketua Menteri yang juga Pengerusi LPM, Datuk Seri Idris Haron berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 648 unit RMM bakal dibina di Krubong manakala selebihnya 153 unit di Kuala Sungai Baru dengan harga di bawah RM180,000.

Menurutnya, komponen pem­bangunan berkenaan turut membabitkan pembinaan sebanyak 1,482 rumah bercampur di Krubong dengan luas keseluruhan projek 63.28 hektar selain 5.62 hektar di Kuala Sungai Baru.

“Kita percaya projek ini akan memberi lebih banyak peluang kepada penduduk negeri ini terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki rumah kediaman yang selesa pada harga berpatutan.

“Ini juga bukti kesungguhan kerajaan negeri menyediakan kediaman paling mampu dimiliki demi kehidupan rakyat yang le­bih selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara LPM dengan pemaju perumahan, PB Realty Sdn. Bhd. dan Mega 3 Housing Sdn. Bhd. di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Eksekutif LPM, Saleh Md. Dom; Pengarah PB Realty, Datuk Poh Geok Seng dan Pengarah Mega 3 Housing, Datuk Tan Gee Swan.

Idris berkata, kedua-dua projek RMM berkenaan menawarkan harga berpatutan daripada RM135,000 hingga RM178,800 seunit di Kuala Sungai Baru manakala harga bagi projek RMM Krubong ditawarkan antara RM120,000 hingga RM150,000 seunit.

“Keluasan minimum bagi se­tiap unit adalah 92.9 meter persegi (1,000 kaki persegi) berstatus pegangan bebas dan dibuka untuk pembeli bumiputera serta bukan bumiputera," ujarnya.

Sementara itu Saleh memberitahu, terdapat sebanyak 12,690 unit RMM lagi yang sedang dan akan dibangunkan di Melaka dalam tempoh tiga tahun sehingga 2020.

“Daripada jumlah itu, seba­nyak 818 unit telah berjaya di­siapkan, 3,279 unit sedang dalam pembinaan manakala selebihnya 8,593 lagi akan dibina sepanjang tempoh tersebut,” jelasnya.