Pengarah Urusan MBSM, Mike Ponnaz berkata, pelanggan akan menikmati manfaat pelan pembiayaan Agility yang tersendiri iaitu pilihan fleksibel pada akhir perjanjian untuk menjelaskan, melanjutkan kontrak atau memulangkan kenderaan mereka.

Satu lagi ciri penting ialah Nilai Masa Depan Terjamin (GFV) yang melindungi pelanggan daripada susut nilai dan pada masa sama membolehkan mereka menikmati ansuran bulanan yang lebih rendah.

“Pelanggan bebas memilih satu atau lebih kombinasi tambahan yang terdiri daripada insurans kenderaan komprehensif, insurans tayar dan rim, insurans kembali ke invois (RTI) serta pakej servis sama ada kompak atau kompak plus.

“Kontrak servis daripada Mer­cedes-Benz memberikan ketena­ngan minda kepada pelanggan tanpa perlu bimbang terhadap sebarang kerja pembaikan dan kos yang tidak dijangka. Kenderaan mereka akan diselenggara oleh juruteknik terlatih dan berpengalaman, penggunaan alat ganti tulen dan disokong oleh alat diagnostik terkini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ponnaz, pilihan tempoh bagi pembiayaan Agility, RTI dan pakej servis Kompak adalah antara satu hingga lima tahun manakala tempoh bagi insurans motor komprehensif serta tayar dan rim ialah satu tahun yang dibuat atas dasar pembaharuan.

Menurutnya, contohnya pe­langgan yang memilih untuk membiayai Mercedes-Benz GLC200 dengan pilihan Drive360+ dan RTI masing-masing selama lima tahun, servis penyelenggaraan kompak, insurans motor komprehensif setahun kompak plus serta tayar dan rim hanya perlu membayar RM4,754 sebulan.

Katanya lagi, MBSM baru-baru ini turut memperkenalkan kempen EQ Agility Care yang berlangsung sehingga 30 Jun depan sebagai pelengkap kepada produk EQ Power yang baharu dilancarkan.