Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pembiayaan itu melibatkan sembilan projek di bawah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.61 bilion.

Katanya, pembiayaan itu turut merangkumi 15 projek di bawah Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) bernilai RM7.5 bi­­­lion dan enam projek Rumah Mam­pu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) bernilai RM600 juta.

Jelas beliau, setakat ini MBSB Bank telah meluluskan pembia­yaan bernilai lebih RM2 bilion untuk skim PPA1M, lebih RM900 juta untuk Rumawip dan kira-kira RM1.6 bilion bagi projek PR1MA.

“Pembiayaan terbaharu ini adalah bagi Skim Rumah Pertamaku (SRP) menerusi kerjasama de­ngan Cagamas SRP Bhd. yang menjadikan MBSB Bank sebagai bank yang ke-23 terlibat dalam program berke­naan.

“Kerjasama ini seiring dengan fokus institusi perbankan kami yang mahu menumpukan kepada pembiayaan bagi rumah mampu milik di dalam negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu MBSB Bank menandatangani kerjasama dengan Cagamas SRP bagi Program Jaminan Gadai Janji untuk SRP.

Yang turut hadir, Pengarah Caga­mas SRP yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Cagamas Bhd., Datuk Chung Chee Leong.

SRP yang dilancarkan sejak 8 March 2011 merekodkan sebanyak 7,920 pembiayaan atau pinjaman bernilai RM1.6 bilion setakat ini yang telah dijamin oleh Cagamas SRP melibatkan 22 bank.

Menurut Chee Leong, jumlah pembiayaan ini diunjur meningkat kira-kira 10 ke 20 peratus dengan adanya penyertaan MBSB Bank dan bank-bank lain pada masa akan datang.

“Antara kreteria untuk membuat permohonan SRP adalah pen­dapatan kasar peminjam perseorangan tidak lebih daripada RM5,000 sebulan dan pendapatan kasar peminjam bersama tidak lebih daripada RM10,000 sebulan,” katanya.