Ketua Kad, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, B. Ravintharan berkata, pelancaran kad iaitu kerjasama francais sukan antarabangsa terbaharu institusi perbankan tersebut mampu mengukuhkan lagi penguasaan Maybank dalam perniagaan kad.

Menurutnya, Maybank akan menawarkan rangkaian penuh kad berjenama Barcelona bagi memenuhi pelbagai segmen pelanggan runcit menerusi Kredit Kad Visa Signature FC Barcelona dan Kad Platinum Debit Visa di Malaysia.

“Kami berharap dapat mengeluarkan 15,000 keping kad jenama bersama ini dalam masa setahun sebelum meluaskan jalinan usahasama ini ke pasaran serantau kami dengan Singapura bakal menjadi pasaran luar negara pertama untuk diteroka pada Januari 2018.

“Kad baharu ini juga menyasarkan kepada peminat setia FC Barcelona di Malaysia yang juga merupakan pelanggan Maybank yang semakin bertambah,” katanya selepas majlis pelancaran kad terbaharu Barcelona di sini hari ini.

Kad tersebut telah dilancarkan secara bersama oleh Ravintharan dan legenda yang juga bekas pemain tengah pasukan Barcelona, Gaizka Mendieta.

Dalam pada itu, Pengarah Ko­mer­sial FC Barcelona, Xavier Asensi berkata, usahasama de­ngan Maybank membolehkan peningkatan berterusan dari segi populariti untuk kelab berkenaan di samping mendekati peminat setia di Malaysia dan Singapura.

Yang turut hadir Ketua Kad Maybank Malaysia dan Singapura, Karen Low dan Pengurus Negara Kumpulan Visa, Mandy Lamb.