Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Abdul Farid Alias berkata, kumpulan itu juga bercita-cita untuk mencapai pulangan ekuiti seba­nyak 11 peratus dalam tahun kewangan semasa berbanding 10.9 peratus yang dicatatkan pada tahun kewangan lepas.

“Kami akan berdisiplin dalam mengurus margin faedah bersih terutamanya dalam persekitaran kadar faedah yang semakin tinggi dan akan terus mengguna pakai disiplin harga dalam pinjaman di bawah persekitaran Piawaian Pelaporan Kewangan 9 (MFRS 9) yang baharu,” katanya di sini hari ini selepas mesyuarat agung tahunan dan mesyuarat agung luar biasa Maybank di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Maybank, Datuk Mohaiyani Shamsudin.

Sementara itu Mohaiyani berkata, Maybank akan terus memanfaatkan peluang pertumbuhan di rantau ini serta memberi tumpuan kepada pengurusan kecairan, kos dan risiko dengan berkesan untuk memastikan pertumbuhan yang mampan untuk tahun kewangan 2018 dan tahun-tahun seterusnya.

“Pada masa yang sama, kumpulan akan berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan meningkatkan agenda digital untuk memanfaatkan perkembangan teknologi yang berlaku dalam persekitaran operasi semasa,” katanya.

Sementara itu mengulas me­ngenai cabang insuransnya, Eti­qa yang merekodkan keuntu­ngan selepas cukai paling tinggi seba­nyak RM1.01 bilion pada tahun kewangan 2017, Abdul Farid berkata, Maybank sentiasa terbuka menerima cadangan bagi pengewangan syarikat berke­naan.

“Kami menerima ba­nyak maklum balas me­ngenai pelan pengewangan Etiqa dan kami sentiasa terbuka bagi sebarang peluang yang muncul, namun buat masa sekarang perkara itu belum pasti lagi,” katanya.

Bagi tahun kewangan 2017, Maybank merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM7.52 bilion, meningkat 11.5 peratus tahun ke tahun dan pendapatan bersihnya turut melonjak 4.9 peratus tahun ke tahun kepada RM23.27 bilion.

Kumpulan perbankan itu juga merupakan syarikat pertama yang mencapai modal pasaran lebih RM100 bilion di Bursa Malaysia pada tahun lalu.