Menerusi MoU tersebut, Tanjung Ratna akan menerima pembiayaan daripada Maybank sebagai institusi perbankan projek itu selepas melihat prestasi kukuh syarikat perumahan itu dan sasaran pembeli iaitu bagi pemilikan keluarga.

Ketua Pegawai Eksekutif Tanjung Ratna, Datuk Julian Lau berkata, projek pembinaan Admiral Residences yang akan bermula tidak lama lagi menyediakan 1,440 unit kondominium di empat blok bangunan se­tinggi 26 dan 27 tingkat.

"Setakat ini, proses tawaran jualan rumah itu mendapat permintaan yang tinggi daripada orang ramai apabila fasa pertama blok A sudah habis dijual manakala 30 peratus bangunan blok B sudah mempunyai pembeli.

"Keistimewaan yang ada pada Admiral Residence ini adalah ia merupakan satu-satunya kediaman untuk keluarga de­ngan kemudahan tiga bilik dan harga jualan yang 35 peratus lebih murah berbanding kondominium komersial lain," katanya.

Lau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Maybank yang diwakili Pengarah Urusan Perbankan Perniagaannya, Jason Wong Seong Kuan manakala Tanjung Ratna diwakili beliau. Yang turut ha­dir, Ketua Pegawai Operasi Tanjung Ratna, Allan Chee.

Admiral Residences terletak di tengah bandar Kota Laksamana menawarkan pemilikan kediaman pada harga rendah iaitu daripada RM328,500 bagi unit berkeluasan 99.3 meter persegi (tiga bilik, dua bilik air) hingga 107.6 meter persegi (empat bilik, dua bilik air).

Menurut Julian, sebanyak 10 buah institusi kewangan bersetuju untuk menjadi peminjam kepada pembeli dan ini merupakan satu kebanggaan buat syarikat itu yang sudah beroperasi sejak 2001, bermula sebagai pemaju perumahan awam.

"Selepas beroperasi selama beberapa tahun, Tanjung Ratna mula mendapat kepercayaan bukan sahaja daripada pembeli malah institusi kewangan turut berminat untuk menyediakan pinjaman perumahan kepada pembeli kediaman kami," katanya.

Antara institusi perbankan yang menyediakan kemudahan pinjaman bagi projek perumahan tersebut adalah Maybank, CIMB Investment Bank,. AmBank Berhad, Affin Bank Berhad, OBCB Bank, RHB Investment Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).