Pengerusi Jawatankuasa Pe­nganjur Mapex 2017, Judith Ho Bee Kim berkata, ekspo selama enam hari anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Melaka itu bakal melibatkan kira-kira 20 pemaju hartanah dari seluruh negara termasuk Perbadanan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Menurutnya, lebih 40 projek pembangunan di seluruh negeri ini akan dipamerkan sepanjang ekspo tersebut membabitkan ki­ra-kira 1,626 unit hartanah pelbagai jenis.

“Setiap unit hartanah dijual bermula dari RM68,000 sehingga RM2.08 sebuah dan nilai ke­seluruhan jualan sempena ekspo yang diadakan di pusat beli-belah AEON Bandar Raya Melaka, di sini dianggarkan melebihi RM782 juta.

“Sehubungan itu, orang ramai terutamanya mereka yang belum memiliki rumah digalakkan hadir ke ekspo ini kerana terdapat pelbagai pilihan bagi mendapatkan rumah kediaman selain khidmat rundingan serta nasihat daripada pakar hartanah,” katanya dalam sidang akhbar Mapex 2017 di pejabat REHDA Melaka, Taman Malim Jaya, di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi REHDA Cawangan Melaka, Datuk Seri Ngoh King Hua.

Jelas Bee Kim, daripada ke­seluruhan hartanah yang dipamerkan itu, 1,130 unit adalah untuk jualan kepada bumiputera manakala selebihnya 496 layak dipohon bukan bumiputera.

“Selain itu, 1,106 unit hartanah yang dipamerkan sedang dalam proses pembinaan manakala 520 unit telah siap sepenuhnya serta sedia diduduki pembeli,” katanya.

Tambahnya lagi, ekspo tahunan kali ketiga yang diadakan pihaknya itu bakal dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron pada 3 November depan dan ia dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula dari 10 pagi hingga 10 malam.

Sementara itu, King Hua mencadangkan kerajaan negeri agar dapat menyediakan tanah pada harga lebih murah kepada pemaju bagi membolehkan lebih ba­nyak projek Rumah Mampu Milik (RMM) dapat dibina di negeri ini.

Katanya, kekangan pemaju pada masa kini adalah harga tanah yang mahal dan mereka tidak boleh menyediakan rumah pada harga rendah sekiranya harga tanah yang diperoleh adalah tinggi.

“Jika ini berlaku, usaha untuk menyediakan lebih banyak RMM kepada masyarakat kurang berkemampuan mungkin sukar dilaksanakan secara lebih me­luas,” jelasnya.