Menurut Pakar Ekonomi Australia & New Zealand Banking Group Ltd. di Singapura, Sanjay Mathur, jika mengenai GST sahaja, sudah tentu bajet defisit akan semakin melebar dan pe­nguatkuasaan tersebut ada impak yang baik dan juga buruk.

“Tetapi saya berharap mereka akan melakukan langkah-langkah yang boleh mengimbangi beban ini,” katanya kepada Bloomberg.

Kementerian Kewangan da­-
lam satu kenyataan mene­tap­kan, bekalan barang dan per­khid­matan yang dibuat di dalam Malaysia serta barang dan per­khidmatan yang diimport adalah sifar GST.

Langkah pengenaan GST pa­da kadar sifar ini berkuat kuasa mulai 1 Jun dan terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak. Penetapan tersebut tidak meliputi barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 yang kekal dikecualikan daripada GST.

Tahun lalu, kerajaan memperoleh RM43.8 bilion hasil GST atau 18.3 peratus daripada cukai pendapatan menjadikan ia penyumbang terbesar selepas cukai korporat.

Pendapatan itu membantu kerajaan sebelum ini merapatkan jurang defisit fiskal kepada tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lalu.

Sementara itu, Penganalisis Kedaulatan Fitch Ratings di Malaysia, Sagarika Chandra berkata, agensi penarafan tersebut akan terus memantau dan menilai perkembangan tersebut sama ada ia memberi implikasi kepada kedudukan penarafan kedaulatan negara.

Pakar Ekonomi Kanan Natixis Asia Ltd. di Hong Kong, Trinh Nguyen pula menyifatkan GST menjadi kunci utama kepada Malaysia ketika berdepan saat-saat sukar dalam bajet terutama apabila minyak mentah hanya berlegar sekitar AS$37 (RM146.67) setong.

“Apabila cukai ini dimansuhkan, ia mungkin memberi impak positif kepada sektor pengguna,” katanya.

Semalam dalam analisis Bloomberg, Penganalisis Ekonomi Bank of America Merrill Lynch, Mohamed Faiz Nagutha menjangkakan pengembalian semula cukai SST akan memberikan hasil hanya separuh dari­pada pendapatan yang diperoleh daripada GST.

Menurut beliau, hasil daripada GST mewakili kira-kira tiga peratus KDNK, sementara SST secara purata menyumbang hanya 1.6 peratus antara 2004 hingga 2014. – AGENSI