Penolong Pengurus Pasaran Data Jualan dan Pemasaran SI Portal.com Sdn. Bhd., Leow Cheun Yun (gambar) berkata, perisian saham tidak terlalu sukar untuk dipelajari terutama kepada individu yang kerap menggunakan komputer.

Jelas beliau, masalah utama yang dihadapi oleh para pelabur adalah perisian berke­naan mengandungi terlalu banyak input hingga sukar untuk membezakan data yang berkualiti atau tidak.

“Bagi mengatasinya, saya menasihatkan untuk menda­lami dahulu ilmu pelaburan sebelum menggunakan perisian. Cari maklumat sebanyak mungkin sama ada daripada mentor atau internet.

“Apa yang penting adalah disiplin dan strategi yang baik. Tetapkan matlamat bersandarkan strategi tersebut dan guna aplikasi untuk membuat analisis pelaburan,” katanya kepada Mingguan Malaysia pada Simposium Saham Utusan 2017, di sini hari ini.

Cheun Yun menambah, sehingga kini terdapat kira-kira 5,000 orang sahaja yang melanggan untuk menggunakan perisian analisis pasaran saham di negara ini.

Katanya, sebahagian besar yang melanggan adalah pelabur dan broker saham yang aktif.

“Orang awam yang aktif juga boleh mencuba perisian ini. Ia tidak semestinya digunakan oleh syarikat atau broker-broker sahaja.

“Saya berharap jumlah tersebut akan meningkat dan pelbagai usaha dilipat gandakan bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada mereka untuk beralih arah ke teknologi. Dunia hari ini semakin pantas dan teknologi mampu merapatkan jurang tersebut dengan memberikan maklumat masa sebenar kepada para pelabur,” ujarnya.

Menurut Chen Yun, terdapat beberapa perisian saham dalam pasaran, namun majori­ti menggunakan Bursa Station dan orang ramai yang berminat boleh mendapatkan secara langganan atau percubaan di laman web www.bursastation.com.