Tidak banyak yang boleh dice­ri­takan di ruangan kali ini tentang sentimen pasaran hujung tahun kerana topik ini te­lah diterangkan di dalam beberapa siri yang lepas. Cikgu Saham juga percaya sekiranya pembaca sentiasa mengikuti kolum ini akan semakin mahir dalam membuat keputusan jual dan beli saham termasuk meramal sentimen pasaran dengan mengikuti maklumat-maklumat dan bimbingan pasaran yang diberikan di ruangan ini.

Window dressing

Kita sedang menghampiri penghujung tahun 2018 yang mana satu aktiviti tahunan yang dipanggil window dressing hujung tahun akan menyusul pada hari terakhir urus niaga Bursa Malaysia. Kita bakal me­nyaksikan kenaikan mata indeks pasaran FBM KLCI pada window dressing hujung tahun ini.

Kenaikan mata indeks FBM KLCI ini didorong kenaikan saham-saham blue chips atau tiga puluh saham-saham syarikat tersenarai yang berkaitan indeks. Pada saat-saat akhir urus niaga pasaran iaitu pada hari terakhir Disember, saham-saham berkaitan indeks ini akan mencatatkan kenaikan sekali gus akan memberi tempias kepada indeks pasaran FBM KLCI.

Walau bagaimanapun, rally window dressing ini boleh berlaku awal dan tidak semestinya pada hari terakhir Disember. Ataupun kita panggil ‘bunga-bunga’ window dressing akhir tahun ini akan berlaku pada minggu-ming­gu terakhir Disem­ber atau pada ming­gu ke tiga Di­sember.

Dengan adanya aktiviti window dressing hujung tahun ini, pelabur dan pedagang saham boleh mengintai peluang pada saham-saham berkaitan indeks untuk tidak terlepas peluang menjana keuntungan sempena aktiviti window dressing ini.

Sekiranya pasaran mengalami kejatuhan sebelum tibanya minggu-minggu terakhir Di­sember, ia merupakan peluang yang tidak boleh dilepaskan oleh pelabur kerana saham-saham blue chips ini agak sukar berge­rak tanpa adanya pemang­kin positif atau aktiviti pembelian besar-besaran daripada pelabur asing dan institusi tempatan.

Sokongan pelabur asing

Saham-saham berkaitan indeks ini mempunyai musim-musim tertentu untuk ia berge­rak naik dan saham-saham ini sememangnya memerlukan so­­kongan pelabur asing dan ins­titusi tempatan untuk menolak naik harga saham-saham itu.

Ia agak berbeza dengan saham-saham dalam kategori lain kerana modal pasaran serta jumlah saham yang diapungkan terlalu besar. Dengan jumlah saham yang terlalu besar ini berbanding de­ngan saham-saham syarikat tersenarai yang lain contohnya pasaran ACE, ia memerlukan sokongan institusi kewangan tempatan dan asing untuk membeli saham-saham ini kerana harganya yang mahal di luar kemampuan pelabur runcit untuk membeli saham-saham blue chips.

Bagaimanakah nanti keadaan pasaran pada 2019? Adakah ia akan lebih baik dari 2018 atau sebaliknya?

Prospek 2019

Untuk mengetahui prospek pasaran 2019, tidak dinafikan terdapat nanti beberapa syarikat broker saham yang menganjurkan ceramah pasaran untuk memberitahu prospek tahun depan.

Pelabur dan pedagang saham boleh mengikuti bimbingan dan nasihat di ruangan ini untuk menghadapi hari-hari mendatang kerana kita tidak tahu apakah lagi perkara-perkara atau peristiwa baharu yang mempengaruhi corak perjalanan pasaran saham.

Mungkin ada lagi peristiwa-peristiwa baharu yang akan terjadi pada 2019 yang bakal memperlihatkan kesan ke atas pergerakan turun naik pasaran.

Pelabur dan pedagang saham yang masih tidak dapat membaca atau meramal pergerakan dan sentimen pasaran boleh mengamalkan strategi perdagangan jangka masa singkat dan memberi tumpuan untuk mengambil untung sekiranya saham-saham yang dibeli telah naik harganya.

Berapa kenaikan atau berapakah ROI atau pulangan pelaburan yang perlu diperoleh terpulang kepada anda untuk menentukan selagi tidak rugi. Sebagai contoh, sekiranya anda memperoleh keuntungan mingguan sebanyak 4 atau 5 peratus pulangan ke atas pelaburan, jika dihitung untuk empat puluh minggu atau bersamaan sepuluh bulan, anda telah memperoleh 160 peratus ROI untuk tempoh 10 bulan.

Jumlah ini boleh dikatakan agak lumayan pulangannya jika dibandingkan dengan pelaburan pada instrumen yang lain. Dan strategi jangka singkat ini agak tenang dan selamat kerana anda hanya memegang saham untuk tempoh yang singkat.

Sekiranya anda telah menjual pegangan saham, anda mempunyai fikiran yang tenang dan tidak perlu risau sekiranya berlaku apa-apa peristiwa yang bakal menjejaskan pasaran saham.

Sebagai contoh, ada banyak peristiwa global yang berlaku semasa cuti umum negara kita. Terdapat juga sesuatu peristiwa besar global pada cuti hujung minggu dan apabila pasaran dibuka pada Isnin, pasaran tempatan akan bertindak balas pada awal pagi pasaran dibuka.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada pembaca yang ingin mempelajari bagaimana menjana pendapatan di pasaran saham boleh hubungi talian 019-2352037 dan untuk perisian carta boleh menghubungi 013-3899162.