Jika syarikat penerbangan ‘legasi’ seperti Malaysia Airlines (MAS) dan Singapore Airlines perlu mewujudkan syarikat-syarikat penerbangan tambang murah untuk terus ‘hidup’, bagaimana pula dengan penerbangan tambang murah ini?

Sebagai contoh, MAS mempunyai syarikat penerbangan tambang murah Firefly, Singapore Airlines pula dengan Scoot. Bagaimana pula dengan syarikat penerbangan tambang murah seperti AirAsia, Malindo Air dan banyak lagi yang menjadikan tambang murah ‘kunci’ perniagaan mereka?

Semalam, Suruhanjaya Pe­nerbangan Malaysia (Mavcom) menjangkakan purata harga tambang udara semakin rendah tahun ini berikutan persaingan sengit antara syarikat penerbangan di negara ini.

Menurut Mavcom, syarikat penerbangan di Malaysia bakal meningkatkan jumlah pesawat kepada 278 daripada 177 buah dalam tempoh tujuh tahun ini. Purata tambang bagi laluan domestik dan antarabangsa pula berdasarkan laporan itu masing-masing turun 5.9 peratus dan lapan peratus setiap tahun.

Laporan itu merupakan berita gembira buat orang ramai, tetapi tidak untuk industri penerba­ngan tambang murah yng bergelut dalam persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar. Sebelum ini, sebuah syarikat penerbangan tambang murah, Rayani Air digantung operasi sehingga kini hanya selepas dua tahun beroperasi.

Industri penerbangan dilaporkan semakin sengit, bukan sahaja disebabkan per­saing­an sesama mereka, tetapi juga akibat peningkatan kos iaitu kos bahan api dan penyenggaraan.

Menurut Mavcom, pertambahan pesawat bermakna lebih banyak penerbangan akan di buat sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa. Lebih banyak penerbangan bermaksud lebih tinggi kos yang perlu ditanggung oleh syarikat-syarikat ini.

Kos bahan api yang rendah ketika ini dikatakan telah ba­nyak membantu perkembangan industri penerbangan terutama penerbangan tambang murah untuk meningkatkan perolehan dan keuntungan.

Bagaimanapun, harga bahan api tidak selamanya rendah dan pasti akan meningkat selari de­ngan usaha Pertubuhan Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) yang dilaporkan kini giat berusaha meningkatkan semula harga komoditi itu. Sekiranya usaha OPEC ini berhasil, harga minyak mentah akan kembali meningkat dan peningkatan sudah pasti akan turut dialami oleh bahan bakar untuk pesawat.

Pertumbuhan ekonomi yang rancak sebelum ini mendorong orang untuk melancong dengan penerbangan tambang murah menjadi pilihan mereka. Pertambahan kapasiti penumpang membantu perkembangan industri khususnya syarikat penerbangan tambang murah.

Namun, kelembapan ekonomi menyaksikan orang ramai mula mengehadkan perbelanjaan mereka dan antara yang dipotong ialah aktiviti bercuti. Kesannya, syarikat-syarikat penerbangan terkemuka mula merekodkan kerugian berbilion dolar.

Sebagai contoh, syarikat pe­nerbangan Etihad merekodkan kerugian lebih AS$1.87 bilion (RM8.04 bilion) pada tahun lalu sahaja. Singapore Airlines pula sebelum ini dilaporkan mengambil pendekatan menawarkan cuti tanpa gaji buat kru kabin dalam usaha mengawal kos.

Di peringkat domestik, MAS sedang mengalami proses transformasi atau penyusunan semula perniagaan bagi mengurangkan kerugian yang dialami. Ada syarikat yang melaksanakan tawaran awal permulaan (IPO) untuk mengumpulkan dana bagi menampung kos dan pengembangan operasi. Persoalannya, sejauh mana usaha itu dapat membantu sekiranya persekitaran ekonomi global terus sukar diramal?