Lebih menggembirakan Malindo Air juga membenarkan produk makanan laut sejuk beku didaftar masuk sebagai bagasi sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan-nelayan tempatan di Labuan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, syarikat penerbangan itu akan beroperasi secara harian ke Labuan dan pihaknya yakin perkhidmatan yang ditawarkan dapat memperkenalkan lagi Labuan.

“Pengenalan penerbangan ini merupakan inisiatif mensejahterakan rakyat khususnya untuk warga Labuan selain menjadikan kawasan berkenaan sebagai pulau bebas cukai yang lebih kompetitif.

“Saya juga percaya inisiatif ini akan dapat merancakkan kembali ekonomi Labuan yang sebelum ini gagal diuruskan dengan baik oleh pihak terdahulu. Ini adalah permulaan awal untuk membangunkan semula ekonomi di Labuan, “ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan penerbangan pertama Malindo Air ke Labuan di KLIA di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy.

Menurut Khalid, polisi Malindo Air membenarkan produk makanan laut sejuk beku dari Labuan didaftar masuk sebagai bagasi akan merancakkan semula pertumbuhan ekonomi kawasan berkenaan.

Katanya, inisiatif itu akan merancakkan ekonomi Labuan khususnya industri makanan laut sejuk beku sekali gus meningkatkan semula pendapatan nelayan tempatan dalam memasarkan hasil tangkapan laut mereka.-UTUSAN ONLINE