Pada 10 Januari lalu, Bloomberg yang memetik sumber melaporkan, pengatur yang dipilih termasuk HSBC Holdings Plc, Mizuho Financial Group Inc. dan Nomura Holdings Inc.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini mengumumkan pelantikan Mizuho Bank (Malaysia) Bhd., HSBC Bank Malaysia Bhd. dan Daiwa Capital Markets Ltd. (dengan usaha sama Affin Hwang Investment Bank) sebagai pengatur utama bersama bagi bon 10 tahun Samurai membabitkan 200 bilion yen (RM7.6 bilion).

Ditanya sama ada Nomura merupakan antara calon pengatur utama, Guan Eng berkata. syarikat pegangan kewangan Jepun itu merupakan antara calon, namun menafikan syarikat itu digugurkan disebabkan oleh laporan yang dikeluarkan oleh Nomura Global Research.

“Kami memilih pengatur utama berasaskan merit, yang terbaik dan dapat memberikan harga menarik,” katanya di sini hari ini.

Minggu lepas, Nomura Global Research melaporkan defisit fiskal 2018 Malaysia akan merosot kepada 3.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Guan Eng bagaimanapun menyifatkan laporan itu tidak benar dan berkata, kerajaan yakin mencatat defisit fiskal 3.7 peratus dan 3.4 peratus KDNK pada 2018 dan 2019. - UTUSAN ONLINE