Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai pegawai kanan daripada Kementerian Pe­ngang­kutan kedua-dua negara telah ditubuhkan bagi menilai dan merancang projek ter­sebut.

“Perancangan untuk melaksanakan projek HSR Kuala Lumpur- Bangkok ini masih dalam peringkat perbincangan,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas merasmikan tren baharu KLIA Ekspres di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Tiong Lai, peranca­ngan bagi pelaksanaan projek HSR baharu itu dijangka dapat menghubungkan laluan HSR antara Kuala Lumpur - Singapura yang dijangka siap pada 2026.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, menjelang 2027 pihak­nya menganggarkan panjang la­luan rel di Malaysia akan mence­cah 3,000 kilometer (km) hasil kejayaan pelaksanaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Massa (MRT) dan HSR Kuala Lumpur-Singapura.

Beliau berkata, pembinaan rangkaian perkhidmatan rel yang cekap bagi menghubungkan kawasan-kawasan utama di seluruh negara sangat penting terutamanya bagi mengurangkan kesesakan di jalan raya ketika musim perayaan dan menjana ekonomi setempat.

“Pada sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini di China, kira-kira 90 juta orang telah menggunakan perkhidmatan tren sepanjang tempoh dua minggu perayaan tersebut. Jumlah pergerakan tersebut sangat ­tinggi.

“Kejayaan China membina rang­kaian perkhidmatan tren bagi kemudahan dan keselesaan rakyatnya sangat cepat hanya dalam tempoh 10 tahun sahaja.

Malaysia juga sekarang dalam perancangan untuk meningkatkan per­khidmatan ini bagi menghubungkan lebih banyak kawasan di seluruh negara,” katanya.