Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, rangka kerja tersebut merupakan sebuah dokumen yang menggariskan langkah-langkah yang akan dilaksanakan dari 2016-2025 untuk mewujudkan ASEAN yang bersepadu dan kompetitif serta dinamik.

Beliau berkata, Malaysia juga komited untuk melaksanakan se­mua komitmen yang dibuat di bawah rangka kerja berkenaan dan berusaha ke arah inisiatif memudahkan perdagangan seperti mempercepatkan kerja pelaksa­na­an awal Jendela Tunggal ASEAN untuk pelepasan kastam, Sistem Kastam Transit ASEAN (ACTS), Skim Pengiktirafan ASEAN dan mempercepatkan kerja-kerja pe­matuhan piawaian dan standard ASEAN.

“Untuk memperkukuhkan lagi integrasi serantau serta menyokong pengurangan jurang pembangunan, Malaysia sekali lagi menjadi peneraju dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan langkah-langkah bukan tarif dan halangan bukan tarif.

“Malaysia juga mengambil langkah untuk mempercepatkan run­dingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sem­pena sambutan ulang tahun ke-50 ASEAN yang disambut di Menara MITI di sini.

Sempena Ulang Tahun ke-50 ASEAN hari ini, Mustapa turut memimpin Majlis Mengibarkan Bendera ASEAN yang turut dihadiri oleh kira-kira 200 pegawai MITI dan agensinya .

Mustapa berkata, hari ini ASEAN telah berkembang menjadi satu daripada rantau yang paling dinamik di dunia dengan prestasi ekonomi yang pesat.

Ujarnya, perkembangan ekonomi ASEAN, yang kini mempunyai penduduk 630 juta orang, telah berkembang dengan pesat dan mencatatkan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh pada 4.8 peratus pada 2016.

“Bagi tahun 2017, kadar pertumbuhan KDNK dijangka pada 4.8 peratus dengan trend positif ditunjukkan oleh negara-negara anggota,” katanya.